Monthly Archives: November 2011

PAHALA KITA MENJADI MILIK ORANG, DOSA ORANG MENJADI MILIK KITA

Risau memikirkan nasib diri.. sudahlah pahala yang berjaya dikumpul tidak seberapa banyak nak dibandingkan dengan dosa yang berjaya di galas. Inikan pula kesemua pahala itu hendak diberikan kepada orang lain dan kemudiannya digantikan pula dengan dosa yang banyak. Apa yang bakal saya terima di akhirat nanti? Mampukah saya menyelamatkan diri dari seksa neraka Allah?

Saya pasti ramai yang tahu tentang hal dan keadaan ini, cuma tidak sedar dan sedikit terlupa akan hal ini, termasuklah diri saya. Mengumpat merupakan satu kebiasaan dalam kehidupan seharian kita tanpa disedari. Boleh dikatakan tak sah kalau kita tidak mengumpat dalam sehari. Mudah kata, tiap-tiap hari kita mengumpat. Semua orang tahu Islam tidak membenarkan penganutnya saling mengumpat antara satu sama lain, tapi ramai tidak sedar yang dia sebenarnya sering mengumpat pada hampir kesemua perbualannya.

Fenomena ini seakan-akan tiada jalan penyelesaiannya. Semua peringkat tak kira tua, remaja, kanak-kanak, lelaki, perempuan, pensyarah, engineer, akauntan dan semua jenis pekerjaan sukar untuk melepaskan diri dari masalah ini.

Sehinggakan saya pernah terdengar suara masyarakat yang mengatakan dan berpandangan bahawa

“kita takkan dapat lari dari mengumpat, sedangkan ustaz dan ustazah yang kita lihat alim pun mengumpat, inikan pula kita”.

Inilah kelemahan golongan ustaz ustazah, tidak mampu menjadi roll model ataupun qudwah kepada masyarakat kini. Tidak dinafikan ada golongan ustaz ustazah yang begitu menitik beratkan masalah ini dan berjaya mengawal dirinya dari masalah ini, tetapi masyarakat tetap melihat kumpulan ustaz ustazah yang serba kekurangan.

Pensyarah saya di Syria pernah membuat perumpamaan tentang mengumpat. Dia menggambarkan bahayanya perbuatan ini seolah-olah kita menyumbat kesemua pahala kita ke dalam meriam untuk dijadikan peluru, dan kemudiannya kita menembak kesemua pahala kita kepada orang yang sedang kita umpatkan. Akhirnya kita menjadi muflis. Segala hasil penat lelah kita melakukan ibadah hilang begitu sahaja.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, diakhirat nnt seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. 

Maka, dia berkata kepada Allah “Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab :”Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui“. 

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti.

Nauzubillah.. Moga kita jauh dari golongan tersebut.

Masyarakat sering mengatakan bahawa golongan wanita yang  paling kerap membicarakan perihal orang lain. Tapi setelah saya mendampingi masyarakat dari semua lapisan serta membuat penilaian melalui pemerhatian saya, ternyata penyakit ini bukan hanya dijangkiti oleh kaum hawa. Bahkan kaum adam tidak ketinggalan dalam permasalahan ini. Malah kadang-kadang lebih pedass ayatnya. Cuma mungkin kaedah pemahaman kita yang berbeza. Yelah, biasanya ape yang di celotehkan kaum hawa di katakan meluah perasaan, tapi secara tidak langsung ia menjadi satu umpatan. Kaum lelaki pula sering di lihat mengutuk seseorang, kononnya nak kata orang lain tak pandai buat kerja ataupun dia saja yang betul ataupun dalam erti kata lain suka meng’komen’, secara tidak langsung juga kita sudah menjangkitkan diri kita dalam penyakit ini.

Kadang-kadang bila ditegur,

“ Ish cik kiah… tak baik mengumpat”

Kita akan dibalas dengan,

  “ Aku bukan mengumpat.. aku cakap benda yang betul apee..”

Masyarakat kini mula keliru antara mengumpat dan fitnah. Sesuatu yang benar tentang seseorang itu di ceritakan oleh seseorang itu iainya adalah mengumpat. Manakala sekiranya seseorang itu menceritakan sesuatu yang tidak benar mengenai orang yang diceritakan itu, maka ianya adalah fitnah.

Oleh itu, kita perlu sentiasa mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini agar kita tidak menjadikan mengumpat sebagai amalan harian kita tanpa kita sedari.

Berzikirlah.. semoga dengan berzikir dapat menambahkan lagi ketakutan kita terhadap siksa Allah.

Beristighfarlah.. semoga dengan beristighfar dapat menghapuskan dosa-dosa lepas kita.

Lupakanlah segala rasa tidak puas hati terhadap orang lain.. kerana syaitan akan terus menghasut diri kita untuk merenggangkan lagi ukhwah sesama anak adam.

Tegurlah.. berikanlah teguran sekiranya kita terdengar orang sekeliling kita cuba memulakan perbualan dengan mengumpat.

Maafkanlah… maafkanlah kesalahan orang lain terhadap kita dan janganlah mengungkit kesalahan itu di hadapan orang lain.

Berdoalah.. berdoalah supaya Allah menjauhkan diri kita dari berterusan mengidap penyakit ini.

Akhir sekali, ingatkanlah kepada diri.. bahawa kita tidak akan mendapat apa-apa faedah sekiranya kita bercerita perihal orang lain, sama sekali tidak membawa keuntungan kepada kita, bahkan mendapat dosa dan meruntuhkan lagi hubungan baik kita yang sedia ada.

ويلٌ لكلِّ همزةٍ لمزةٍ.

(kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela)

Surah al-Lumazah, ayat 1.

Wallahua’lam..

%d bloggers like this: