Gimik Hijrah 1433 : Tarbiah ke Bumi Syam


Alhamdulillah…  1 Muharram 1433H kira-kira jam 11.30pagi waktu Syria (5.30 ptg waktu Malaysia), saya dan 13 rakan lain telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik. Permusafiran kami dari bumi Malaysia yang hampir memakan masa selama 22 jam itu akhirnya menghilangkan segala kepenatan, kerisauan dan kegelisahan kami  setelah berjaya melangkah setapak melepasi imigresen Syria di airport.

Bukan suatu perkara yang mudah untuk menjejakkan kaki di bumi barakah ini. Satu demi satu halangan dan cubaan cuba menggagalkan misi kami ke sini. Situasi persiapan, permusafiran dan perasaan untuk menuju ke bumi Syria tidak semudah dan seriang menuju Negara oversea  lain seperti UK, Paris, Jordan, Mesir dan sebagainya. Sebaliknya, mereka yang berazam untuk ke tempat ini harus merelakan diri untuk menghadapi segala apa rintangan yang bakal menempuhi mereka.

Mereka yang sudah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik belum tentu boleh menjejakkan kaki di bumi Syam. Ramai yang terpaksa berpatah balik kembali ke Malaysia atau terbang ke Negara lain sejurus mereka mendarat di Damsyik dek kerana tidak di beri cop keizinan masuk ke Damsyik oleh pegawai petugas Imigresen. Tiada ketetapan atau syarat-syarat kelayakan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan Syria atau imigresen untuk membenarkan atau menahan seseorang itu dari memasuki Damsyik. Semua ini bergantung kepada nasib. Kalau pegawai imigresen pada waktu itu moodnya baik, maka kita bertuah kerana di izinkan masuk ke Negara mereka. Tapi, jika pegawai-pegawai imigresen  pada waktu itu tidak mempunyai belas kasihan, dan kadang-kadang suka mencari ‘pasal’ terhadap pelajar-pelajar asing yang datang ke Negara mereka, dengan rasa penuh angkuh dan sombong mereka menyekat kita dari memasuki bumi Syria. Perkara ini bukan menjadi masalah kepada rakyat Malaysia sahaja, malah menjadi masalah dan kerisauan kepada semua warga asing yang ingin menagih ilmu di bumi barakah itu.

Disebalik kegelisahan hati untuk meneruskan misi hijrah ke bumi syam ini,akhirnya dengan berkat istikharah dan solat hajat yang berterusan membuatkan hati  saya tetap bertekad untuk kembali ke Syria pada hujung bulan November untuk menyelesaikan misi memburu segulung Ijazah disamping mengutip mutiara-mutiara ilmu dari ulama’-ulama’ di Syam. Alhamdulillah, tarikh 26 November menjadi pilihan.

Pada awalnya kami hanya berempat sahaja, dan kami berpakat untuk tidak menambah bilangan ini khuatir dengan angka yang ramai bakal menyukarkan lagi kami untuk melepasi imigresen Syria seperti yang sering berlaku sebelum ini. Hari demi hari, semakin ramai yang bertanya dan menyatakan hasrat untuk pulang bersama kami. Mulanya saya seakan-akan ingin melarikan diri, kerana tidak mahu mereka pulang bersama saya dan tiga lagi rakan. Namun, hati ini berbicara dan melontarkan beberapa soalan kepada iman dan akal saya…

‘’Aku sapa nak halang dorang dari nak jejakkan kaki di bumi Allah? Sapa aku yang nak halang dorang dari mencari dan mendapat ilmu Allah? Yakin ke dengan angka 4 orang boleh memudahkan  urusan aku kat  imigresen Syria nanti? Kan ke senang or susah sesuatu urusan tu sumenye datang dari Allah. Manelah tau  aku yang banyak dosa ni boleh menumpang berkat dorang yang musafir dengan aku, kot-kot sebab berkat dorang aku boleh masuk Syria. Bumi ni milik Allah Shazareen!! “

Mulai dari saat itu, saya tidak pernah mengelakkan diri dari ditanya mengenai tarikh dan tiket penerbangan ke Syria. Saya juga tidak menghalang mereka untuk bermusafir dengan saya. Malah saya mengalu-alukan mereka untuk sama-sama menyertai misi saya dan rakan-rakan ke bumi anbiya’. Dan saya amat bersyukur, kerana bisa menumpang berkat mereka sepanjang pemusafiran kami nanti.

Sedar tak sedar, rupa-rupanya angka yang asalnya 4 kini menjadi 14! 14 orang kami kesemuanya. Keluarga saya, malah keluarga-keluarga mereka 13 orang itu terkejut dan bimbang dengan angka seramai itu. Kami hanya mampu berdoa moga-moga Allah memberkati dan memudahkan urusan pemusafiran kami.

Semakin hampir tarikh permusafiran kami, semakin gundah gelana jiwa ini. Setiap hari kami membuat solat hajat , setiap kali selesai solat 5 waktu kami berdoa, moga-moga Allah memudahkan kami menjejakkan kaki ke Syria.

Sempat saya berpesan kepada rakan-rakan sepemusafiran agar bersedekah sebelum berangkat. Moga dengan sedekah itu, memudahkan lagi urusan kami.   Hadis nabi Muhammad S.A.W bersabda :

إنّ الصدقة تدفعُ البلاء

‘Sesungguhnya sedekah itu menghalang dari mendapat bala’ ‘

Jam 6 petang, 26 november kami semua berkumpul di KLIA. Urusan Check-in kami agak sukar dan kelam kabut memandangkan ramai yang tiba lewat di KLIA. Berurusan dengan syarikat GulfAir semasa check-in tidak semudah berurusan dengan syarikat Kuwait Airways. Hanya dua kilogram berat terlebih dari peruntukan timbangan bagasi, makin merumitkan lagi urusan kami. Namun, Alhamdulillah akhirnya semua barang-barang kami ‘lepas’ setelah sedikit perbincangan dibuat bersama pegawai bertugas.

Kira-kira jam 8 malam, kami mula memanjat langit dan terbang searas dengan awan ciptaan Allah S.W.T. Setelah hampir 9 jam kami berada di awan, akhirnya kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain. Alhamdulillah, tanpa kami sangka rupanya kami disediakan tempat tinggal di sebuah hotel di Bandar Bahrain sepanjang transit kami selama 8 jam.

Kira-kira jam 7 pagi waktu Bahrain, selepas sarapan pagi di hotel kami dibawa semula ke airport Bahrain oleh petugas hotel dengan menaiki sebuah van. Alhamdulillah, kami berpeluang melihat kemodenan dan keindahan Bandar Bahrain memandangkan hotel yang kami diami betul-betul berada di tengah-tengah Bandar Bahrain.

Sampai saja di airport Bahrain, kami terus menuju ke pintu perlepasan. Di situ, kami merancang beberapa strategi untuk memasuki imigresen airport Syria kelak. Pada awalnya kami merancang untuk di bahagikan kepada tiga kumpulan. Di dalam satu kumpulan terdapat 5 orang ( 3 orang pelajar baru, 2 orang pelajar lama) dan di dalam setiap kumpulan ada orang yang mahir berbahasa arab dan ada yang mahir berbahasa inggeris.

Namun, setelah bermusyawarah timbul satu cadangan baru supaya kami dibahagikan kepada dua kumpulan sahaja. Kumpulan pelajar lama, iaitu mereka yang sudah pernah belajar di Syria. Dan kumpulan pelajar baru, mereka yang baru pertama kali ke Syria untuk belajar.

Semasa di dalam kapal terbang menuju ke Damascus, saya sempat memerhati setiap seorang dari kami. Mulut mereka semua tidak berhenti-henti berkumat-kamit berdoa, merintih dan mengharap kepada Allah agar urusan kami untuk memasuki imigresen Syria dipermudahkan. Macam-macam doa dan ayat quran di amalkan. Dengan harapan moga-moga dengan berkat mukjizat agung itu dapat membantu kami kelak.

Sejurus sampai di airport Damsyik, kumpulan pelajar lama terus menuju ke imigresen. Selepas dari tahun 2006, ini kali kedua saya mendarat di airport Damsyik. Subhanallah, banyak perubahan kemodenan yang dapat di lihat. Kini kaunter imigresen untuk warga asing banyak dibuka. Pada waktu itu ada 5 kaunter dibuka, berbanding pada 2006 hanya terdapat 2 kaunter untuk menguruskan pelancong asing. Kini pegawai-pegawai imigresen di setiap kaunter bergaya menggunakan sebuah komputer bermoniter nipis untuk memasukkan data para pelancong. Berbanding pada tahun 2006, mereka hanya menggunakan sebuah buku catatan yang amat besar dan usang untuk membuat catatan setiap kemasukan pelancong ke Negara mereka (mcm xcaye Syria semundur tu waktu tu).

Ketika di kaunter, pada mulanya nampak seperti semuanya baik. Tiba-tiba pegawai bertugas itu bertanya..

‘’Awak kerja apa?’’ Saya menjawab “pelajar”.

“Awak tinggal di mana?” Saya menjawab “Ruknuddin”.

“Awak belajar di Fatah Islami?” dengan slumber saya jawab “ Nope, saya belajar di Abu Nur ”.

Muka pegawai itu kemudiannya seperti tidak berpuas hati. Seakan-akan saya bakal berhadapan dengan masalah yang besar. Namun, saya tetap melontarkan senyuman  kepada kepada pegawai itu sambil ‘menjampi’ pegawai  itu dengan menggunakan ayat Quran dari surah thoha ayat 39 moga-moga Allah melembutkan hati pegawai itu..

و ألقيتُ عليك محبّةً منّي ولتُصنَعَ على عيني

Pada waktu itu, kesemua pegawai-pegawai yang menguruskan passport rakan-rakan saya yang masing-masing berada di kaunter yang berasingan terhenti selepas mendengar perbualan pegawai di kaunter saya. Mereka seakan-akan mengatakan kami pelajar Fatah dan Abu Nur tidak di izinkan masuk Syria, lebih-lebih lagi kami tiada visa pelajar. Akhirnya ketua mereka datang ke kaunter saya untuk menyelesaikan masalah. Dia meminta dari saya jika mempunyai sebarang surat dari Jami’ah. Saya menunjukkan kepada mereka surat dari Wizarah Auqaf (Kementerian Pelajaran Syria) yang meminta supaya pihak imigresen membenarkan pelajar Jami’ah Fatah dan Abu Nur untuk memasuki Syria. Namun, bukan surat itu yang pegawai itu kehendaki. Kemudian saya memberikan wathiqah dawam (surat yang menyatakan saya pelajar Abu Nur). Selepas melihat surat itu, ketua pegawai  itu terus mengatakan surat ini yang dia mahukan sebenanya, lalu dia memberi arahan kepada pegawai bawahannya supaya melepaskan kami.

Saat ketika melihat dan mendengar bunyi hentakkan cop di passport saya, saat itu hilang segala keresahan dan keletihan. Hati tidak berhenti-henti mengucapkan syukur kepada Allah kerana mengizinkan kami untuk sujud sekali lagi di bumi berkat ini.

Setelah selesai urusan kami, kumpulan pelajar baru pula menggantikan tempat kami di kaunter imigresen. Mereka yang datang berstatuskan sebagai seorang pelancong ditembak dengan pelbagai soalan. Alhamdulillah, Allah juga memudahkan urusan mereka sebagaimana Allah memudahkan urusan kami.

Erti keyakinan dan tawakkal kepada Allah yang cukup tinggi mengajar kami semua dalam permusafiran hijrah ke bumi syam kali ini. Seperti sudah dirancang kami sampai dibumi syam tepat pada tarikh 1 hijrah. Hijrah yang benar-benar membawa erti keyakinan,pengorbanan dan kekuatan jiwa bagi setiap insan yang bersama dalam misi ini.Percayalah dengan keyakinan yang tinggi serta tawakkal kepada Allah Taala InsyaAllah disebaliknya pasti ada aturan yang terbaik untuk kita.benarlah kata Allah di dalam hadis Qudsi :

أنا عند ظنِّ عبدِ بي

Dan Alhamdulillah, kini saya meneruskan rutin saya sebagai seorang pelajar di sini. Meneruskan pembelajaran seperti biasa. Terus mencari mutiara-mutiara ilmu dan memanfaatkan ketenangan dan keberkatan di bumi Syam ini. Bimbang entah esok, entah lusa.. mungkin juga hari ini, Allah akan menarik kembali nikmat yang telah Allah berikan kepada saya di bumi Syam ini. Nauzubillah…

About Nur Shazareen

Hampir menjadi Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Dakwah & Pengajian Islam di Universiti Syeikh Ahmad KIftaro, Damascus Syria. Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Dakwah & Usuluddin di Al-Madinah International University. Seorang isteri kepada suami yang hensem, dan ibu kepada dua cahaya mata yang comel. Seorang 'ustazah cabuk' yang cuba ingin berdakwah secara versatile.

Posted on December 14, 2011, in episod kehidupan and tagged . Bookmark the permalink. 6 Comments.

  1. Allah yubaarik fiiki..! aerin…mcm aeron aziz je…hehe

    Like

  2. Assalam,dik🙂 Mubarak! Hanya mereka yang terpilih boleh berada di Syam..Allah3.. Yang pasti, berhijrahlah kerana disitu akan ada beribu pintu kebaikkan! Kuasa Hijrah! Take care,ya. Syukran perkongsian!

    Like

    • wslm…syukran kak..syukran atas nasihat. doakn kami juga tpilih utk mgarap segala mutiara di sini, bukan sekadar melancong dicni.. berhijrah ape saja dan kemana saja utk islam..🙂

      Like

  3. wah! rindu syria..moga sume baik2 di sana ..aminn…

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: