Pengalaman Imtihan Ketika Kebangkitan Rakyat Syria


 

” ko kena kuat, baca quran bg diri ko tenang. igt, kita usaha tp jgn beriman kejayaan dtg dgn usaha semata2. baca je,usaha je. selebihnya, Allah tentukan. Doa byk2 kt Allah. Aku jauh, tapi Allah dekat ”  

message yang ku terima dari sahabat karibku yang telah menguatkan diri ini dikala diri ini lemah.

Hampir sebulan bercinta dengan kitab-kitab, hampir sebulan terikat dgn temujanji bersama anisah-anisah yang menjaga dewan peperiksaan, hampir sebulan kopi radix menjadi minuman ketika sedang ber’dating’ bersama kitab, dan hampir sebulan berhadapan dengan perasaan yang berdebar dan gundah gelana setiap hari…

Alhamdulillah.. kini saya mampu menghirup udara kemenangan yang belum pasti.

Begitulah hari-hari yang kami lalui sepanjang tempoh imtihan kali ini. Tidak ada kata yang mampu diluahkan untuk menggambarkan kepenatan akal,emosi dan fizikal  kami ketika itu melainkan ianya seumpama berada dimedan perang yang bersenjatakan akal dan pen.

Alhamdulillah.. Allah memberi kekuatan kepada hambanya yang hina ini untuk mengharungi segala keperitan dan kepayahan. Tanpa kekuatan dan bantuan daripada Allah pasti saya akan tersungkur sebelum sampai ke garisan penamat.

Namun, banyak pengalaman baru yang sudi bertandang di dalam diari hidup saya  sepanjang fatrah imtihan, tambahan pula hidup di Negara yang sedang bergolak ini.

 

HARI-HARI TERAKHIR SEBELUM IMTIHAN BERMULA

3 hari sebelum imtihan bermula, ketika saya sedang belajar tiba-tiba terdengar handset berbunyi, di skrin tertera panggilan masuk oleh Ketua Dewan Helwi. Setelah memberi salam dan bertanyakan khabar, kak lina memulakan perbualan..

Erin, akak dapat satu maklumat dari orang arab. Pukul 12 tengah hari nanti semua kedai di Dimasyq akan tutup. Semua kedai nak buat mogok besar-besaran. Mungkin mogok ni akan berterusan sebulan atau dua bulan.”

“  Kawasan Mujtahid je ke atau satu DimasyQ kak? “  saya bertanya, sebab di kawasan sekitar Mujtahid pada ketika itu memang sudah beberapa hari kedai-kedai tidak di buka tanda mogok kepada kerajaan selepas pembunuhan kanak-kanak besar-besaran di perkampuangan Haurah.

yang arab tadi tu kata satu DimasyQ. Tapi tak tau la. Takpe la, betul atau tak yang penting kita berjaga-jaga. Ahli bait akak pun akak keluar beli stok barang-barang asasi. Ahsannya, ahli bait Erin pun beli la dulu stok makanan. Kalau betul-betul ada mogok, kita dah ada bekalan makanan, kalau xde pun, xrugi kita beli awal-awal.”

Jam di dinding menunjukkan jam 11.25 pagi, hanya ada 35 minit sahaja lagi sebelum jam 12 tengahari. Saya terus memaklumkan hal ini kepada rakan-rakan serumah. Semua terus tercengang mendengar pangkhabaran dari saya sambil melihat jam dinding.

Relax, benda ni kita tak tau lagi betul ke tak akan berlaku, tapi kita ambil langkah jaga-jaga la. Kalau dorang xjadi mogok pun, tak rugi kita beli stok makanan siap2.”

Kami segera menyenaraikan senarai barang keperluan yang perlu di beli sambil membahagi-bahagi tugasan membeli barang kepada setiap ahli bait. Kemudian kami keluar membeli belah sambil melihat keadaan sekeliling. Memang ada kedai yang tutup, tapi kebanyakannya masih meneruskan perniagaan seperti biasa.

Alhamdulillah, khabar yang disampaikan oleh ketua helwi itu tidak berlaku di kawasan Ruknuddin. Mereka meneruskan perniagaan seperti tiada apa yang berlaku. Sempat saya bersembang dengan ammu (pak cik ) peniaga di bawah rumah saya tentang hal ini, ammu kata

“ Aku akan tutup, tapi bukan hari ini. Bila tiba waktunya aku akan tutup kedai aku, bukan aku je yang akan tutup tapi kami sumua peniaga akan tutup kedai ketika tu ”  sambil die mengangkat tangan dan membuat lakaran bulatan isyarat kepada mereka keseluruhan.

Saya hanya tersenyum di sebalik purdah sambil berkata..

Insya Allah, an-nasrun qoribb ”.

 

BUNYI ITU SEAKAN-AKAN SUDAH LALI DI TELINGA KAMI

Malam itu kira-kira jam 11 malam saya sedang sibuk mentelaah subjek Nahu, keesokannya imtihan akan bermula pada jam 10 pagi. Tiba-tiba kami serumah terdengar  bunyi tembakan berderu-deru. Kami saling memandang antara satu sama lain, masing-masing membuat memik muka terkejut. Bunyi tembakan itu semakin kuat seperti semakin menghampiri rumah kami. Ya, bunyi itu betul-betul datang dari bawah rumah kami. Bunyi tembakan itu terus kedengaran dan lama kelamaan ia tidak kedengaran lagi. Kami saling tertanya, apa sebenarnya yang mereka sasarkan? Sekadar untuk menakutkan orang sekeliling atau memang mereka sedang mengejar seseorang..  Setelah ianyanya tidak kedengaran lagi, kami  pun meneruskan ulang kaji.

Tiba-tiba, kami terdengar bunyi bom. Tapi ianya sekadar bunyi, kami tidak merasakan sebarang gegaran. Hampir 5 kali bunyi itu menyelinap masuk ke rumah kami. Kami tertanya-tanya di manakah agaknya bom itu meletup, kerana dari bunyi bom itu seakan-akan bukan datang dari sekitar kawasan rumah kami dan sekitar Abu Nur. Ketika terdengar bunyi itu, saya hanya mampu berdoa di dalam hati, semoga Allah menyelamatkan orang-orang muslim di luar sana.

Tidak lama kemudian, kami terdengar pula bunyi seakan-akan bunyi tembakan dari ‘bazuka’. Wallahu’alam betul atau tidak firasat kami, tetapi bunyi yang kami dengari kali ini sedikit halus dari bunyi bom.

Henset saya mula didatangi mesej dari sahabat-sahabat bertanyakan khabar kami serumah.  Mereka yang lain juga turut terdengar bunyi-bunyi letupan dan mereka merasakan seolah-olah bunyi itu datang dari kawasan rumah kami. Saya membalas satu persatu mesej mereka dengan memberitahu keadaan kami yang masih selamat dan bunyi letupan bom itu bukan dari kawasan rumah kami.

Malam-malam yang seterusnya, malah pada siang hari juga kadang-kadang kami terdengar bunyi letupan. Tapi kebiasaanya bunyi letupan yang kami dengar hanya samar-samar. Kemungkinan letupan itu berlaku di kawasan Barzah dan Qabun yang sering diserang oleh tentera Syria.. Wallahua’lam..

 

TAK AMBIL EXAM

Kisah pertama :  salahkan jam !

Kami berlima pelajar Malaysia yang bersama berada di tahun 4 kuliah Dakwah Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro berazam untuk sama-sama takharuj (grad) pada tahun ini. Kami saling menguatkan antara satu sama lain dan saling membantu antara satu sama lain. Setiap hari kami saling bertukar semangat melalui mesej dan kata-kata.

Hari itu, imtihan subjek Hadharah Islamiah. Tanpa kami sedari, seorang dari kami tidak datang imtihan pada hari itu. K. Ziela tak duduk sedewan imtihan dengan saya. Jadi yang perasan k.Ziela tak hadir pada waktu itu hanya Kak seorang. Pukul 11, kami dibenarkan utk menghantar kertas soalan. Saya kebiasaanya akan terus berada di dalam dewan sehingga waktu imtihan tamat, iaitu jam 12 tengahari. Kak pula memang selalu keluar awal. Keluar saja kak dari kawasan kuliah Dakwah di tingkat 4, kak ternampak k.Ziela sedang sibuk menghafal point penting subjek Hadharah. Kak terus menyapa k.Ziela

Awat k.zila duk tang ni? Awat tak masuk dewan amik imtihan? “

“ Eh, nak masuk la ni. Lagi 10 minit nak pukul 10 kan? “ jawab k.Ziela.

Laa, la ni pukul 11 dah k.ziela.. orang dah pakat keluar dewan dah..”

K.Ziela terkedu. Rupa-rupanya jam  k.Ziela terlewat 1 jam. Hmm.. itulah yang dinamakan takdir..

Kisah kedua : Terlena

Pagi itu, jam 9.50 kami seperti biasa sudah berada di dalam dewan imtihan untuk mengambil subjek  Usul Fiqh.  Saya, Na dan k.Isma duduk sederet di dalam dewan yang sama. Aneh, jam dah menunjukkan jam 10 dan kertas soalan sudah mula diedarkan, tapi tempat duduk k.Isma masih kosong. Mata saya masih melilau ke pintu dewan menanti kedatangan k.Isma. Tapi k.Isma tak muncul-muncul juga sehingga habis waktu imtihan.

Sampai sahaja di rumah, saya terus mencapai henset di atas katil dan menghantar SMS kepada k.Isma untuk bertanyakan khabar.  Rupanya pagi tu k.Isma terlena. Dari malam sebelumnya dia tak dapat tidur dek kerana bunyi tembakan dan bom terlalu kuat sepanjang malam sehingga ke pagi. Menjelang pagi, barulah kawasan rumahnya reda dari bunyi tembakan. K.Isma terus terlena sampai terkorban 1 paper.

Selepas melihat keadaan sahabat-sahabat saya yang tertinggal paper dengan sebab yang tak disengajakan, saya dapat rasa di dalam hati yang saya juga mungkin akan melalui apa yang mereka lalui. Dan akhirnya, saya tidak mengambil imtihan subjek adab islamiah (sastera islam).

 

TUMPANG SEMANGAT SAHABAT ARAB

Kisah pertama : Semangat ibu mengandung

Di dalam kelas pelajar kuliah dakwah tahun 4, ramai sahabat-sahabat arab yang mengandung. Tapi ada 4 orang dijangka bersalin di dalam tempoh imtihan berlangsung. Keempat-empat mereka langsung tidak memberi alasan untuk tidak mengambil imtihan walaupun mereka sarat mengandung. Salah seorangnya adalah Nur Abdul Ghani yang duduk di belakang saya ketika imtihan.

Setiap kali saya melihat Nur, hati saya pasti akan berbisik..

“ Masya Allah.. Kuatnya Nur ni..”

Tiba-tiba ketika imtihan Hadharah sedang berjalan, dia mengangkat tangan untuk meminta keluar dari dewan. Jam baru menunjukkan jam 10.30 pagi. Anisah yang menjaga dewan imtihan membenarkan die keluar. Saya perhatikan Nur sepanjang perjalanan dia menuju ke pintu keluar dewan dengan cara jalan nya yang aneh. Saya bercakap dalam hati..

“ kot-kot Nur ni dah nak bersalin kot..”

Keesokkannya imtihan Bahas Ilmi. Tapi Nur tidak kelihatan. Dua hari selepas tu pula imtihan Usul Fiqh, tempat Nur masih kosong. Kami bersembang-sembang sesama kami, mencari Nur, masing-masing beranggapan mungkin Nur sudah melahirkan anak.

Selang dua hari selepas itu imtihan Thaqafah siasiyah (pengetahuan politik). Kertas soalan sudah pun diedar, Nur tetap juga tidak muncul. Lebih kurang 10 minit selepas imtihan bermula saya ternampak Nur muncul di pintu dewan. Saya tercengang melihat kedatangan Nur. Sebelum ini Nur datang dengan perutnya yang bulat, tapi kali ini Nur datang dengan perutnya yang sudah ‘slim’. Pandangan mata saya tidak berhenti melihat Nur sehingga la die duduk di meja imtihan.

Nur juga datang mengambil imtihan untuk subjek-subjek selepas itu. Bukan sekadar itu, sebelum masuk ke dewan dia sering menjadi rujukan sahabat-sahabat lain bertanya soalan di masa last minute sebelum imtihan bermula. Malah, ketika sahabat-sahabat lain down dan seakan-akan berputus asa sebelum masuk ke dewan, Nur yang memberi semangat kepada mereka. Subhanallah, Nur hanya  berehat selepas bersalin hanya 4 hari sahaja. Selebihnya Nur bersama kami berjuang di dalam dewan peperiksaan.

Begitu juga dengan kisah sahabat kami bernama Lamyak. Selepas seminggu bersalin, die terus hadir untuk mengambil imtihan bersama dengan anak perempuannya yang masih merah.

Setiap kali saya berasa lemah dan tidak bersemangat untuk meneruskan imtihan, saya pasti akan teringat kepada Nur. Nur berhadapan dengan lebih banyak dugaan dan cubaan, tapi dia masih kuat merentasi segala ujian yang datang ketika imtihan. Apalah sangat ujian yang Allah uji kepada saya berbanding dengan ujian yang Nur hadapi.

 

RUMAH TERBAKAR???

Gas rumah kami sudah hampir sebulan habis. Damascus ketika itu dan sehingga kini memang sukar untuk mendapatkan gas. Sudahlah susah nak dapat gas, harga pula melompat terlampau tinggi. Harga asal setong gas ketika  zaman revolusi arab Syria adalah 475 Lera (kira-kira Rm 25 ) tapi harga setong gas terus melonjak kepada 2500 Lera ( kira-kira RM 180 ).

Jadi dengan ketiadaan gas, kami menggunakan dapur elektrik arab yang ‘entik’ kebiasaanya digunakan oleh orang arab pada musim sejuk untuk memasak air di kedai-kedai atau pejabat-pejabat.

Nak di jadikan cerita, pagi itu seorang junior rumah saya baru nak mula memasak. Dapur sudah di hidupkan dan kuali serta sudip sudah di letakkan di atas dapur elektrik itu. Tiba-tiba kawasan rumah kami tiada elektrik. Jadi terhentilah gerak kerja untuk memasak.

Dua jam kemudiaan elektrik ada semula. Tapi si tukang masak tidak terus memulakan kerjanya yang tertangguh di dapur. Selepas 15 minit, saya bangun dari meja study untuk ke tandas. Sejurus selepas saya membuka pintu bilik, bau hangit menyelinap masuk ke bilik. Ruang tamu seakan-akan berasap. Saya terus ke dapur untuk melihat apa yang terjadi. Terkejut saya melihat api sudah menyala di dalam kuali dan dapur masak elektrik juga masih menyala kuat. Dapur ketika itu penuh dengan asap. Saya cuba untuk mengalihkan kuali yang sedang menyarak api didalamnya yang berada di atas dapur masak untuk dipindahkan ke dalam singki, tapi saya gagal berbuat demikian. Saya baru sentuh kuali itu, tetapi saya sudah tidak mampu untuk bernafas di dalam dapur yang penuh dengan asap. Saya terus menjerit kepada ahli rumah supaya mengalihkan kuali itu. Si tukang masak terus mengalihkan kuali itu kedalam singki dan memadam api yang makin besar menyala di dalam kuali dengan membuka paip air.

 Kami semua tidak berhenti-henti batuk kerana menghidu asap itu. Nafas juga mula menjadi sesak. Asap       berkepul-kepul di ruang tamu dan mula masuk ke dalam bilik. Semua tingkap di dalam rumah dibuka. Si tukang masak mengaku silapnya kerana tidak mencabut wayar dapur elektrik ketika ketiadaan elektrik tadi. Sudip yang panjang kini tinggal 1/3 dari batangnya sahaja. Yang lain hancur dibakar api.

Alhamdulillah kami sedar api sudah mula untuk menyala 15 minit sebelum adanya elektrik. Andaikata lebih dari 15 minit, dan kami semua ketika itu masing-masing berada di dalam bilik yang pintunya tertutup rapat… tak tahulah apa nasib yang bakal menimpa kami.

Asap berkepul-kepul mula keluar dari rumah kami. Terdengar suara batuk jiran-jiran arab kami. Tiba-tiba…

 

ting tong…ting tong..’  bunyi loceng rumah kami di tekan banyak kali..

Bermulalah adegan menjawab dengan jiran arab dengan apa yang telah berlaku..

 

LIQA’ TAKHARUJ

Imtihan hampir ke penghujungnya, berbaki lagi 2 paper. Hari itu, selepas imtihan Muqaranah Adyan ( perbandingan agama ) semua pelajar tahun 4 Kuliah Dakwah dan Pengajian Islam menghadiri sesi pertemuan khas bersama Syeikh Syarif Sowaf ( Dekan Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro ) dan Syeikh Bassam ( Dekan Kuliah Dakwah ) bersama dengan beberapa syeikh lain.

Setiap dari syeikh memberi kata-kata azimat kepada kami yang bakal menyinari arena dakwah di tanah air masing-masing. Tatkala mendengar kalam-kalam azimat yang keluar dari bibir mereka, hati melonjak seakan-akan tidak sabar untuk pulang berdakwah di tanah air.

Perasaan mula menjadi sayu tatkala mereka berbicara tentang keadaan negara mereka (Syria) yang kini di alam kebangkitan dan revolusi.

Saya amat tertarik dengan perumpamaan yang diberikan oleh Syeikh Syarif Sowaf berkenaan dengan suasana Syria. Beliau menggambarkan rasa keperitan yang dirasai oleh rakyat Syria. Kesakitannya seperti kesakitan ibu ketika melahirkan anak. Tetapi setelah melihat kelahiran baru itu, segala kesakitan dan keperitan si ibu akan pergi. Ketika itu perasaan gembira menggantikan rasa kesakitan. Begitu juga dengan revolusi yang sedang di lalui oleh rakyat Syria. Segala penat lelah, keperitan dan kesakitan mereka bakal hilang setelah melahirkan kejayaan dan kemenangan yang bakal mereka kecapi tidak lama lagi, InsyaAllah.

Begitulah juga perumpamaan yang dibuat kepada kami pelajar-pelajar  Kuliah Dakwah dan Pengajian Islam tahun 4 yang bakal dilahirkan oleh Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro sebagai Pendakwah Agama Allah ini,walaupun dalam suasana Negara yang bergolak,keperitan dan kesakitan yang dirasai oleh mereka namun pengajian dan peperiksaan tetap diteruskan demi menjamin sebuah kelahiran generasi baru Pendakwah yang bakal meneruskan sirah perjuangan Rasulullah, InsyaAllah.

Liqa (pertemuan) kami pada petang itu di akhiri dengan iqrar dan doa takharruj yang menyebabkan hati ini berasa gentar untuk menggalas amanah dan memikul beban dakwah. Namun, itulah yang menjadi kewajipan kepada kami selaku penuntut Ilmu.

Begitulah serba sedikit dari sebahagian pengalaman ketika imtihan baru-baru ini yang bermula pada 6 Jun dan berakhir pada 2 Julai. Semoga kami semua perolehi keberkatan dan kejayaan dari Allah atas usaha yang telah kami modalkan.

Wallahua’lam..

About Nur Shazareen

Hampir menjadi Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Dakwah & Pengajian Islam di Universiti Syeikh Ahmad KIftaro, Damascus Syria. Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Dakwah & Usuluddin di Al-Madinah International University. Seorang isteri kepada suami yang hensem, dan ibu kepada dua cahaya mata yang comel. Seorang 'ustazah cabuk' yang cuba ingin berdakwah secara versatile. Sedang mengejar Redha Allah, dengan impian dapat bersama para anbiya' di Syurga kelak.

Posted on July 13, 2012, in episod kehidupan and tagged . Bookmark the permalink. 3 Comments.

  1. Salaam Kak Erin.. Subhanallah! Betapa kuat & tabahnya jiwa kak Erin n sahabat dlm meneruskn perjuangan ya.. Malu ngn dirik sbb sik setabah akak n shbt2… Moga akak n shbt2 terus bjaya d dunia n akhirat.. Aameen~

    Like

  2. congrats.. selamat berkhidmat ditanah air..

    Like

  3. Assalamualaikum..ustaz dan ustazah di tanah air mendoakan kalian semua sentiasa dalam rahmat Allah. moga pulang nanti membawa misi dakwah dan tarbiah yang akan menerangi bumi Malaysia

    Like

Leave a comment