Monthly Archives: February 2013

Rungkaian Sejarah Hitam Palestin ( Part 1) : GERAKAN ZIONIST

Palestine

Isu Palestin merupakan sebuah isu yang tidak lekang dibibir-bibir manusia serta mata dunia. Namun Isu Palestin ada pasang surutnya. Adakalanya isu ini bagaikan tertimbus ratusan batu di dalam perut bumi, dan kalanya ianya tertimbul menyilau seketika.

Alhamdulillah, ramai yang sedar akan kepentingan mempertahankan tanah Palestin dan masjid al-Aqsa.

Tapi sayangnya, ramai yang tidak tahu apa sebenarnya coretan sejarah hitam yang telah berlaku terhadap bumi yang telah menjadi saksi sewaktu peristiwa Isra’ dan Mi’raj satu ketika dulu.

Oleh itu, saya terpanggil untuk menterjemahkan secara ringkas berkaitan sejarah bumi Pelestin yang diambil dari kitab ‘Thaqafah siasiyyah’ karangan Syeikh Adnan Dibsy yang merupakan salah sebuah kitab yang kami pelajari semasa kuliah di Syria.

Saya berharap perkongsian yang tidak seberapa ini, dapat memberi serta meningkatkan pengetahuan kita dan masyarakat Malaysia tentang kezaliman Yahudi serta konco-konconya dalam merampas hak-hak umat Islam Negara-negara Arab dan Palestin.

 

AWAL KEMUNCULAN GERAKAN ZIONIST

Sifat tamak orang-orang Yahudi terhadap tanah Palestin telah terzahir untuk mereka jadikan tanah Palestin itu sebagai sebuah negara bagi bangsa dan agama mereka (berdasarkan dakwaan dan kepercayaan mereka yang salah).

Akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 telah menjadi saksi persaingan penjajahan yang hebat demi menguasai kawasan-kawasan yang paling berpengaruh di dunia serta kawasan yang menjadi sumber tenaga ataupun kekuatan dunia. Penjajahan yang mereka lakukan itu juga adalah demi untuk mencuri hasil rakyat.

Hasil daripada sifat tamak para Yahudi ini, datangnya pelbagai fikrah yang berbeza, sehingga membolehkan seorang wartawan Yahudi yang bernama Theodor Herzl mengadakan sebuah persidangan (muktamar) Yahudi pada tahun 1897 buat kali pertama. Seramai 197 perwakilan telah hadir pada persidangan itu yang terdiri daripada pelbagai pertubuhan dan Badan-badan Yahudi dari seluruh pelusuk dunia.

theodor20herzl

Theodor Herzl telah menghadiahkan buku karangannya yang bertajuk ‘Negara Yahudi’ pada  persidangan itu.

Hasil daripada persidangan tersebut, tertubuhnya Gerakan Zionist Antarabangsa yang bertujuan untuk merealisasikan jaringan diantara orang-orang Yahudi di dunia dan tanah Palestin bagi membolehkan meraka berhijrah ke tanah Palestin serta membina tanah air untuk bangsa Yahudi di bumi Palestin.

Selain daripada itu, Gerakan Zionist juga merupakan sebuah gerakan politik yang bersistematik bersandarkan kepada agama, politik serta mengajak kepada kesatuan bangsa.

Gerakan Zionist telah memulakan pergerakkan dan aktiviti mereka di negara-negara eropah serta bekerjasama dengan Negara-negara yang berada dibawah jajahan mereka. Dengan adanya  gerakan Zionist, kedua-dua pihak iaitu pihak Zionist dan Negara-negara penjajah seperti Britain dan Amerika memperolehi keuntungan yang banyak. Dimana Zionist akan memperolehi apa yang dikehendakinya daripada tanah Palestin manakala penjajah pula akan mendapat kelebihan dari segi kuasa penjajahan yang berkembang dan semakin meluas di tanah-tanah arab.

 

Dengan wujudnya Gerakan Zionist secara berterusan di tanah arab, negara-negara jajahan mereka seperti Mesir dan Syria telah menjadi salah satu wasilah/jalan untuk merialisasikan rancangan jahat mereka iaitu untuk merampas Palestin dari umat Islam.

Pusat Pentadbiran Gerakan Zionist telah berpindah dari Eropah ke Britain, ketika mana Britain telah menjadi sebuah Negara penjajah yang terpengaruh dan terkuat di dunia.

Pada awal kurun yang ke-20, pusat pentadbiran Gerakan Zionist kemudiannya telah berpindah ke Amerika Syarikat, setelah Britain telah hilang kedudukannya sebagai Negara yang paling kuat dan berpengaruh di dunia.

 

Wallahua’lam

Duhai Lelaki : Hargailah Penat Lelah Kami Mempertahankan Aurat

muslimah

Ramai lelaki yang asyik menasihati wanita untuk menutup dan menjaga aurat dengan baik.

Ramai juga lelaki yang tidak suka wanita tidak menjaga aurat mereka dengan baik.

Ramai juga para lelaki yang mengkritik secara kritikan membina dan sebaliknya tentang cara pemakaian wanita dalam menutup aurat.

Ramai juga di kalangan lelaki yang akan mengutuk wanita dari belakang sekiranya wanita itu tidak menutup aurat. ( mengutuk kerana risaukan wanita itu dari di murka Allah)

Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kaum lelaki yang amat mengambil berat tentang aurat kami selaku wanita Muslimah yang sentiasa mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke syurga firdausi.

Itulah sememangnya tanggungjawab kami selaku Muslimah, menjaga aurat dengan baik seperti yang dituntut oleh Allah s.w.t.

Tapi sayangnya, dalam banyak-banyak lelaki yang kononnya mengambil berat dan prihatin tentang soal aurat muslimah, ramai juga yang tidak menghormati penat lelah wanita Muslimah mempertahankan auratnya dari dilihat oleh mereka yang tidak sepatutnya.

Ramai juga lelaki yang secara tidak sedar seolah-olah tidak menghargai usaha dan pengorbanan wanita Muslimah yang menutup aurat dengan sempurna.

Saat saya menulis entry ini, jari-jemari saya menghentak papan keyboard laptop dengan hati yang amat geram dan marah kepada lelaki-lelaki golongan tersebut.

Mana tidaknya, penat-penat seseorang Muslimah itu menjaga aurat dengan cukup sempurna dihadapan para lelaki yang tidak sepatutnya memperlihatkan auratnya, dengan mudah lelaki lain melihat aurat wanita itu di rumah wanita itu sendiri !

Ahh.. lebih tension dan geram lagi apabila muslimah itu berstokin kaki dan tangan, serta berpurdah di luar rumah, tetapi senang-senang lelaki yang tidak layak melihat auratnya itu melihat muslimah itu dalam keadaan dia tidak bertudung dan tidak memakai pakaian yang sepatutnya dipakai.

Lebih bengang lagi apabila lelaki itu berkata (secara zahir ataupun di dalam hati),

“ Bukan salah aku, salah pompuan tu la yang tak tutup aurat..”

Hm, serius rasa tangan ini macam nak baling garfu ke mata lelaki tu !

SITUASI

Okey, mungkin ramai yang tak faham apa sebenarnya yang cuba saya maksudkan pada entry kali ini. Saya cuba untuk menggambarkan situasi apa yang saya cuba maksudkan..

Fitri seorang muslimah yang sangat mengambil berat tentang auratnya. Dia akan menutup aurat secara sempurna serta berstokin sekiranya ada lelaki bukan mahram yang berkunjung ke rumahnya. Fitri juga akan berpurdah sekiranya keluar dari rumah untuk pergi ke mana-mana.

SITUASI 1 : Pada suatu hari, Fitri duduk diruang tamu bersama keluarga, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang tidak dikenali di hadapan pintu rumah Fitri sambil menjenguk-jengukkan kepalanya seolah-oleh mencari seseorang di dalam rumah Fitri. Fitri tidak sempat mengambil tudung atau kain untuk menutup kepalanya yang mampu hanya lari dari situ supaya tidak dapat dilihat oleh lelaki itu (tapi sebenarnya lelaki tu dah nampak Fitri berlari dah pon).

SITUASI 2 : Fitri sedang masak di dapur. Pada waktu itu, hanya Fitri dan ibunya sahaja yang berada di rumah. Tiba-tiba abang ipar Fitri singgah ke rumah Fitri untuk menghantar cekodok betik sebagai santapan minum petang buat Fitri dan sekeluarga. Mungkin abang ipar Fitri sudah memberi salam ketika masuk ke rumah, tapi Fitri tidak perasan kedatangan abang Iparnya (abg ipar juga perasan yang Fitri xdengar). Lalu abang ipar Fitri terus ke dapur dan ‘TER’nampak Fitri tidak bertudung.

Ini adalah contoh situasi yang saya reka, tidak ada kaitan dengan yang hidup dan yang telah mati. Tapi, kemungkinan situasi seperti inilah yang banyak berlaku kepada para Muslimah. Malah ,mungkin beribu-ribu situasi seperti ini yang dialami oleh para muslimah.

Para lelaki mungkin menganggap ianya perkara kecil kerana ianya tak sengaja.

Tetapi bagi para Muslimah, detik itu akan sentiasa bermain di fikirannya untuk beberapa hari selepas dari kejadian itu. Detik dan saat itu juga sukar untuk dihapuskan dari minda sebahagian Muslimah walaupun kejadian tersebut berlaku 10 tahun yang lalu.

ADAB SEBELUM MASUK KE RUMAH ORANG

  1. 1 MEMBERI SALAM DAN MINTA IZIN

Walau siapa pun anda (lelaki atau perempuan, bisu atau pekak).. tukang potong rumput, penghantar gas, tukang betulkan paip, pengawal kawasan, polis, posman (poslaju & courier), Bos kepada tuan rumah, saudara, ipar dan lain-lain.. Tolonglah beri salam dan minta izin dahulu sebelum menjenguk ke dalam rumah orang. Ramai yang tahu adab sebelum masuk ke rumah orang adalah memberi salam, tapi ramai juga yang lupa atau buat-buat lupa.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّى تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَى أَهْلِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (٢٧)

27. Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu masuk ke Dalam mana-mana Rumah Yang bukan Rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan Yang sopan itu). – (an-Nur, ayat 27)

knocking-on-door_000005666099small

  1. 2 TIDAK MENGHADAP KE PINTU

Antara adab menziarahi rumah orang yang diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah orang yang menziarah itu ( sama ada lelaki atau perempuan ) wajahnya tidak berhadapan/menghadap ke pintu rumah yang diziarahinya, tetapi menjadikan pintu di sebelah kiri atau kanannya.

أخرج البخاري أنّ النبي صلى الله عليه وسلام كان إذا أتى باب قوم لم يستقبل الباب من تلقاء وجهه، ولكن من ركنه الأيمن أو الأيسر.

Diriwayatkan dari imam al-Bukhari bahawa Nabi Sollalahu alaihi wassalam sekiranya mendatangi pintu sesuatu kaum itu (baginda) tidak menghadapkan wajahnya  berhadapan dengan pintu itu, tetapi (baginda menghadap pintu) dari sebelah kanannya atau kirinya.

Rasulullah s.a.w berbuat demikian adalah supaya beliau tidak terpandang atau terlihat apa yang tidak sepatutnya dilihat oleh baginda, kerana ada kalanya anggota keluarga  si tuan rumah tidak sempat untuk berselindung/menutup aurat ataupun tidak perasan kehadiran tetamu itu sewaktu pintu rumah itu dibuka.

Rasulullah s.a.w juga pernah menegur sahabat ketika mana Sa’id bin Ubadah pergi ke rumah Rasulullah s.a.w dan Sa’id bin Ubadah berdiri bertentangan/berhadapan dengan pintu rumah baginda lalu dia meminta izin kepada Rasulullah untuk masuk. Maka Rasulullah s.a.w membuat isyarat kepada Sa’id bin Ubadah agar menjauhi pintu rumahnya, lalu baginda s.a.w bersabda

“Bukankah meminta izin itu sebenarnya adalah untuk membolehkan melihat?”

روى عن سعيد بن عبادة قال : جئت إلى النبي صلى الله عليه وسلم وهو في بيته، فقمت مقابل الباب فاستأذنت فأشار إليّ أن تباعد، وقال : هل الإستئذان إلا من أجل النظر؟

  1. 3 TIDAK MELIHAT KE DALAM RUMAH ORANG LAIN

Haram bagi seseorang itu memandang ke dalam rumah orang yang bukan rumahnya jika tidak diizinkan oleh tuan rumah itu. Meminta izin sebelum memasuki rumah orang lain tidak akan disyariatkan kalau bukan kerana pandangan.

Sesiapa yang melihat kedalam rumah orang lain tanpa izin, mata orang itu dibenarkan untuk dicucuk, tanpa perlu ada Qisas ( pendapat imam Syafie dan imam Ahmad bin Hanbal).

روى الشيخان عن أبي هريرة في حديث مرفوع : ” من اطلع في دار قوم بغير إذنهم، ففقأوا عينه فقد هدرت عيته

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu anhu secara marfu’ :

“  Barangsiapa yang dengan sengaja melihat atau memandang ke dalam rumah orang lain tanpa izin pemiliknya, maka halal bagi mereka untuk mencukil matanya”. (HR. Muslim)

Malah Rasulullah s.a.w pernah menegur sahabat dengan tegas tatkala seorang sahabat itu melihat ke dalam rumah baginda s.a.w.

عن سهل بن سعد قال : اطلع رجل في حجرة من حجر النبي صلى الله عليه وسلم ومع النبي مدرى (آلة رفيعة من الحديد) يحك بها رأسه، فقال : لو أنّك تنظر لطعنت بها في عينك، إنما جعل الإستئذان من أجل النظر. – رواه الشيخان وأحمد و الترمذي.

Diriwayatkan oleh imam al-Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Ahmad, dari sahl bin sa’ad berkata : “Seorang lelaki  dari satu celah memerhati bilik dari bilik-bilik Nabi shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam dan pada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam ada sisir (yang diperbuat dari besi) yang baginda gunakan untuk  menggaru kepalanya, maka baginda bersabda:  ‘Sekiranya aku tahu engkau memandang (ke bilikku) maka akan ku cucuk sisir ini ke matamu. Sesungguhnya dijadikan meminta izin untuk memandang”.

Melalui kisah-kisah ini, secara tidak langsung Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya tentang kepentingan dan keperluan meminta izin sebelum masuk ke rumah orang dan adab bagaimanakah caranya jika seseorang itu hendak meminta izin.

Dengan dua adab ini, sekurang-kurangnya telah memberi peringatan kepada muslimah yang berada di dalam rumah itu tentang kehadiran seorang lelaki. Maka sempatlah kaum wanita seperti kami berlari untuk mencapai tudung atau berselindung agar tidak dilihat.

BUATMU LELAKI

Buatmu lelaki, hargailah dan hormatilah penat lelah muslimah yang bermati-matian mempertahankan auratnya di hadapan lelaki.

Janganlah sewenang-wenangnya ‘mencabuli’ kemulian aurat seseorang muslimah yang dijaga rapi hanya kerana sikap ‘ambil mudah’ kalian.

Jagalah pandangan kalian dari TERlihat aurat muslimah secara tidak sengaja.

Jangan hanya pandai mengkritik para wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna, tapi bantulah kami agar kami dapat memelihara aurat kami di hadapan kalian.

Hargailah perjuangan kami dalam mempertahankan aurat kami di mata kalian.

Andai kalian tahu betapa susahnya kami menjaga setiap inci dari aurat kami, kalian pasti akan rasa apa yang kami rasa tatkala lelaki-lelaki itu kononnya ‘tidak sengaja’ TERlihat aurat kami.

Dan kalian sememangnya tahu, aurat kami haram dilihat oleh kalian. Maka bantulah kami agar kita sama-sama diredhai Allah.

Terima kasih buat kamu wahai lelaki, kerana cuba memahami kami..

Wallahua’lam.

%d bloggers like this: