Duhai Lelaki : Hargailah Penat Lelah Kami Mempertahankan Aurat


muslimah

Ramai lelaki yang asyik menasihati wanita untuk menutup dan menjaga aurat dengan baik.

Ramai juga lelaki yang tidak suka wanita tidak menjaga aurat mereka dengan baik.

Ramai juga para lelaki yang mengkritik secara kritikan membina dan sebaliknya tentang cara pemakaian wanita dalam menutup aurat.

Ramai juga di kalangan lelaki yang akan mengutuk wanita dari belakang sekiranya wanita itu tidak menutup aurat. ( mengutuk kerana risaukan wanita itu dari di murka Allah)

Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kaum lelaki yang amat mengambil berat tentang aurat kami selaku wanita Muslimah yang sentiasa mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke syurga firdausi.

Itulah sememangnya tanggungjawab kami selaku Muslimah, menjaga aurat dengan baik seperti yang dituntut oleh Allah s.w.t.

Tapi sayangnya, dalam banyak-banyak lelaki yang kononnya mengambil berat dan prihatin tentang soal aurat muslimah, ramai juga yang tidak menghormati penat lelah wanita Muslimah mempertahankan auratnya dari dilihat oleh mereka yang tidak sepatutnya.

Ramai juga lelaki yang secara tidak sedar seolah-olah tidak menghargai usaha dan pengorbanan wanita Muslimah yang menutup aurat dengan sempurna.

Saat saya menulis entry ini, jari-jemari saya menghentak papan keyboard laptop dengan hati yang amat geram dan marah kepada lelaki-lelaki golongan tersebut.

Mana tidaknya, penat-penat seseorang Muslimah itu menjaga aurat dengan cukup sempurna dihadapan para lelaki yang tidak sepatutnya memperlihatkan auratnya, dengan mudah lelaki lain melihat aurat wanita itu di rumah wanita itu sendiri !

Ahh.. lebih tension dan geram lagi apabila muslimah itu berstokin kaki dan tangan, serta berpurdah di luar rumah, tetapi senang-senang lelaki yang tidak layak melihat auratnya itu melihat muslimah itu dalam keadaan dia tidak bertudung dan tidak memakai pakaian yang sepatutnya dipakai.

Lebih bengang lagi apabila lelaki itu berkata (secara zahir ataupun di dalam hati),

“ Bukan salah aku, salah pompuan tu la yang tak tutup aurat..”

Hm, serius rasa tangan ini macam nak baling garfu ke mata lelaki tu !

SITUASI

Okey, mungkin ramai yang tak faham apa sebenarnya yang cuba saya maksudkan pada entry kali ini. Saya cuba untuk menggambarkan situasi apa yang saya cuba maksudkan..

Fitri seorang muslimah yang sangat mengambil berat tentang auratnya. Dia akan menutup aurat secara sempurna serta berstokin sekiranya ada lelaki bukan mahram yang berkunjung ke rumahnya. Fitri juga akan berpurdah sekiranya keluar dari rumah untuk pergi ke mana-mana.

SITUASI 1 : Pada suatu hari, Fitri duduk diruang tamu bersama keluarga, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang tidak dikenali di hadapan pintu rumah Fitri sambil menjenguk-jengukkan kepalanya seolah-oleh mencari seseorang di dalam rumah Fitri. Fitri tidak sempat mengambil tudung atau kain untuk menutup kepalanya yang mampu hanya lari dari situ supaya tidak dapat dilihat oleh lelaki itu (tapi sebenarnya lelaki tu dah nampak Fitri berlari dah pon).

SITUASI 2 : Fitri sedang masak di dapur. Pada waktu itu, hanya Fitri dan ibunya sahaja yang berada di rumah. Tiba-tiba abang ipar Fitri singgah ke rumah Fitri untuk menghantar cekodok betik sebagai santapan minum petang buat Fitri dan sekeluarga. Mungkin abang ipar Fitri sudah memberi salam ketika masuk ke rumah, tapi Fitri tidak perasan kedatangan abang Iparnya (abg ipar juga perasan yang Fitri xdengar). Lalu abang ipar Fitri terus ke dapur dan ‘TER’nampak Fitri tidak bertudung.

Ini adalah contoh situasi yang saya reka, tidak ada kaitan dengan yang hidup dan yang telah mati. Tapi, kemungkinan situasi seperti inilah yang banyak berlaku kepada para Muslimah. Malah ,mungkin beribu-ribu situasi seperti ini yang dialami oleh para muslimah.

Para lelaki mungkin menganggap ianya perkara kecil kerana ianya tak sengaja.

Tetapi bagi para Muslimah, detik itu akan sentiasa bermain di fikirannya untuk beberapa hari selepas dari kejadian itu. Detik dan saat itu juga sukar untuk dihapuskan dari minda sebahagian Muslimah walaupun kejadian tersebut berlaku 10 tahun yang lalu.

ADAB SEBELUM MASUK KE RUMAH ORANG

  1. 1 MEMBERI SALAM DAN MINTA IZIN

Walau siapa pun anda (lelaki atau perempuan, bisu atau pekak).. tukang potong rumput, penghantar gas, tukang betulkan paip, pengawal kawasan, polis, posman (poslaju & courier), Bos kepada tuan rumah, saudara, ipar dan lain-lain.. Tolonglah beri salam dan minta izin dahulu sebelum menjenguk ke dalam rumah orang. Ramai yang tahu adab sebelum masuk ke rumah orang adalah memberi salam, tapi ramai juga yang lupa atau buat-buat lupa.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّى تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَى أَهْلِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (٢٧)

27. Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu masuk ke Dalam mana-mana Rumah Yang bukan Rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan Yang sopan itu). – (an-Nur, ayat 27)

knocking-on-door_000005666099small

  1. 2 TIDAK MENGHADAP KE PINTU

Antara adab menziarahi rumah orang yang diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah orang yang menziarah itu ( sama ada lelaki atau perempuan ) wajahnya tidak berhadapan/menghadap ke pintu rumah yang diziarahinya, tetapi menjadikan pintu di sebelah kiri atau kanannya.

أخرج البخاري أنّ النبي صلى الله عليه وسلام كان إذا أتى باب قوم لم يستقبل الباب من تلقاء وجهه، ولكن من ركنه الأيمن أو الأيسر.

Diriwayatkan dari imam al-Bukhari bahawa Nabi Sollalahu alaihi wassalam sekiranya mendatangi pintu sesuatu kaum itu (baginda) tidak menghadapkan wajahnya  berhadapan dengan pintu itu, tetapi (baginda menghadap pintu) dari sebelah kanannya atau kirinya.

Rasulullah s.a.w berbuat demikian adalah supaya beliau tidak terpandang atau terlihat apa yang tidak sepatutnya dilihat oleh baginda, kerana ada kalanya anggota keluarga  si tuan rumah tidak sempat untuk berselindung/menutup aurat ataupun tidak perasan kehadiran tetamu itu sewaktu pintu rumah itu dibuka.

Rasulullah s.a.w juga pernah menegur sahabat ketika mana Sa’id bin Ubadah pergi ke rumah Rasulullah s.a.w dan Sa’id bin Ubadah berdiri bertentangan/berhadapan dengan pintu rumah baginda lalu dia meminta izin kepada Rasulullah untuk masuk. Maka Rasulullah s.a.w membuat isyarat kepada Sa’id bin Ubadah agar menjauhi pintu rumahnya, lalu baginda s.a.w bersabda

“Bukankah meminta izin itu sebenarnya adalah untuk membolehkan melihat?”

روى عن سعيد بن عبادة قال : جئت إلى النبي صلى الله عليه وسلم وهو في بيته، فقمت مقابل الباب فاستأذنت فأشار إليّ أن تباعد، وقال : هل الإستئذان إلا من أجل النظر؟

  1. 3 TIDAK MELIHAT KE DALAM RUMAH ORANG LAIN

Haram bagi seseorang itu memandang ke dalam rumah orang yang bukan rumahnya jika tidak diizinkan oleh tuan rumah itu. Meminta izin sebelum memasuki rumah orang lain tidak akan disyariatkan kalau bukan kerana pandangan.

Sesiapa yang melihat kedalam rumah orang lain tanpa izin, mata orang itu dibenarkan untuk dicucuk, tanpa perlu ada Qisas ( pendapat imam Syafie dan imam Ahmad bin Hanbal).

روى الشيخان عن أبي هريرة في حديث مرفوع : ” من اطلع في دار قوم بغير إذنهم، ففقأوا عينه فقد هدرت عيته

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu anhu secara marfu’ :

“  Barangsiapa yang dengan sengaja melihat atau memandang ke dalam rumah orang lain tanpa izin pemiliknya, maka halal bagi mereka untuk mencukil matanya”. (HR. Muslim)

Malah Rasulullah s.a.w pernah menegur sahabat dengan tegas tatkala seorang sahabat itu melihat ke dalam rumah baginda s.a.w.

عن سهل بن سعد قال : اطلع رجل في حجرة من حجر النبي صلى الله عليه وسلم ومع النبي مدرى (آلة رفيعة من الحديد) يحك بها رأسه، فقال : لو أنّك تنظر لطعنت بها في عينك، إنما جعل الإستئذان من أجل النظر. – رواه الشيخان وأحمد و الترمذي.

Diriwayatkan oleh imam al-Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Ahmad, dari sahl bin sa’ad berkata : “Seorang lelaki  dari satu celah memerhati bilik dari bilik-bilik Nabi shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam dan pada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam ada sisir (yang diperbuat dari besi) yang baginda gunakan untuk  menggaru kepalanya, maka baginda bersabda:  ‘Sekiranya aku tahu engkau memandang (ke bilikku) maka akan ku cucuk sisir ini ke matamu. Sesungguhnya dijadikan meminta izin untuk memandang”.

Melalui kisah-kisah ini, secara tidak langsung Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya tentang kepentingan dan keperluan meminta izin sebelum masuk ke rumah orang dan adab bagaimanakah caranya jika seseorang itu hendak meminta izin.

Dengan dua adab ini, sekurang-kurangnya telah memberi peringatan kepada muslimah yang berada di dalam rumah itu tentang kehadiran seorang lelaki. Maka sempatlah kaum wanita seperti kami berlari untuk mencapai tudung atau berselindung agar tidak dilihat.

BUATMU LELAKI

Buatmu lelaki, hargailah dan hormatilah penat lelah muslimah yang bermati-matian mempertahankan auratnya di hadapan lelaki.

Janganlah sewenang-wenangnya ‘mencabuli’ kemulian aurat seseorang muslimah yang dijaga rapi hanya kerana sikap ‘ambil mudah’ kalian.

Jagalah pandangan kalian dari TERlihat aurat muslimah secara tidak sengaja.

Jangan hanya pandai mengkritik para wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna, tapi bantulah kami agar kami dapat memelihara aurat kami di hadapan kalian.

Hargailah perjuangan kami dalam mempertahankan aurat kami di mata kalian.

Andai kalian tahu betapa susahnya kami menjaga setiap inci dari aurat kami, kalian pasti akan rasa apa yang kami rasa tatkala lelaki-lelaki itu kononnya ‘tidak sengaja’ TERlihat aurat kami.

Dan kalian sememangnya tahu, aurat kami haram dilihat oleh kalian. Maka bantulah kami agar kita sama-sama diredhai Allah.

Terima kasih buat kamu wahai lelaki, kerana cuba memahami kami..

Wallahua’lam.

About Nur Shazareen

Hampir menjadi Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Dakwah & Pengajian Islam di Universiti Syeikh Ahmad KIftaro, Damascus Syria. Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Dakwah & Usuluddin di Al-Madinah International University. Seorang isteri kepada suami yang hensem, dan ibu kepada dua cahaya mata yang comel. Seorang 'ustazah cabuk' yang cuba ingin berdakwah secara versatile.

Posted on February 1, 2013, in FiQh and tagged . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: