Maafkan Kami Syria (Part 1)


Umayyad_Mosque_Damascus

 

Detik demi detik, hari demi hari, minggu demi minggu kian berlalu. Sedar tak sedar sudah hampir 1 tahun jasad ini meninggalkan bumi syam. Namun hanya jasad yang berada di Malaysia, tetapi jiwa dan roh yang menjadi teman setia kepada jasad masih lagi berada di bumi syam.

Jari jemari ini sepatutnya menari di atas keyboard setahun yang lalu untuk menceritakan detik-detik cemas yang dilalui sepanjang keberadaan kami di sana menjadi saksi bahawa peperangan itu benar-benar berlaku di bumi syam. Namun, jari jemari ini di gari seketika kerana bimbang hati akan terus menangis rindukan saat indah suka dan duka di bumi Allah Syria. Semakin di gari, semakin itu hati terus menangis. Lalu saya bebaskan jari jemari ini menari mengikut rentaknya sendiri bagi mencorak lakaran sepanjang detik –detik akhir kami di sana.

***

September 2011, tiga trip penghantaran pulang pelajar-pelajar yang berada di Syria ke Malaysia dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia. Keputusan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia itu amat memeranjatkan setiap dari diri anak Malaysia yang berada di bumi Syam pada ketika itu, kerana pada waktu itu perang masih belum lagi memasuki kawasan Dimasyq. Keadaan di Dimasyq masih tenang seperti sedia kala, jadual harian dan kelas-kelas pengajian berjalan seperti biasa. Cuma tidak dapat dinafikan, rakyat-rakyat Dimasyq tetap berdiri berdemonstrasi setiap minggu seusai solat Jumaat menentang kezaliman yang berlaku ke atas rakyat mereka sendiri.

26 November 2011, saya dan lebih 10 orang rakan lain mengambil keputusan untuk kembali semula ke Dimasyq memandangkan pengajian bagi sesi 2011/2012 yang merupakan tahun terakhir pengajian saya untuk menamatkan pembelajaran di peringkat ijazah telah pun bermula lebih sebulan. Kami juga menerima khabar melalui rakan-rakan yang masih berada di Dimasyq mengatakan keadaan di Dimaysq masih stabil dan kelas pengajian masih berjalan seperti biasa. Selepas kepulangan kami ke bumi syam, beberapa kumpulan pelajar lain turut pulang menjejakkan kaki semula ke Syria.

 

FOKUS KEPADA MUTIARA ILMU

Dalam situasi sedemikian rupa, kami sering memperingatkan diri sendiri bahawa kami mungkin akan keluar meninggalkan Syria bila-bila masa sahaja sekiranya keadaan di Syria menjadi tegang. Oleh itu, ramai yang tidak mensia-siakan peluang keemasan mereka berada di bumi yang penuh dengan lautan ilmu. Fokus harian adalah untuk mengaut sebanyak mana mungkin ilmu, tidak kira di mana dan apa cara sekali pun.

Aktiviti-aktiviti sampingan seperti window shopping dan bersiar-siar kami kurangkan. Begitu juga dengan program-program persatuan, namun beberapa program dan aktiviti tidak formal tetap dijalankan untuk memastikan kemantapan ukhuwah seperantaun kami di sana terjaga.

Seletih mana pun saya selepas mesyuarat yang berlangsung berjam-jam pada pagi itu di rumah persatuan, saya tetap akan masuk ke kuliah pada jam 12.30 tengahari sehingga 5.30 petang. Sepenat mana otak saya menerima input-input ilmu Feqah dan Sirah oleh Anisah Iman pada pagi itu, saya tetap juga akan pergi ke Kuliah seusai talaqi bersama beliau di Dar Hajibiah. Ini kerana saya telah berpesan dan sentiasa memberi peringatan kepada diri, biarlah letih mengejar ilmu sekarang, asal jangan saya keluar dari Syria dalam keadaan penuh penyesalan kerana tidak bersungguh menuntut ilmu dari ahlinya.

 

CABARAN YANG PERLU DI HADAPI

Selain dari kenaikkan harga barangan secara mendadak ekoran dari kejatuhan mata wang Lera Syria (LS) dan juga kesukaran untuk mendapatkan gas yang pada masa yang sama harga satu tong gas juga melonjak tinggi hampir 4 kali ganda, masalah gangguan tenaga elektrik juga menjadi cabaran terbesar bagi kami di sana.

Sudah menjadi kebiasaan kepada kami dengan ketiadaan elektrik di sana setiap hari selama 2 jam. Tetapi pada suatu ketika itu, mereka memutuskan elektrik setiap 3 jam. Bermakna 3 jam akan ada elektrik, 3 jam kemudian tiada. Sebagai contoh,

12 tengahari – 3 petang : tiada elektrik

3 petang – 6 malam : ada elektrik

6 malam – 9 malam : tiada elektrik

9 malam – 12 tengah malam : ada elektrik

Dan begitu la seterusnya sehingga lebih kurang 2 minggu lamanya.

Bayangkan hidup dalam keadaan sedemikian. Sudahlah terpaksa berlawan dengan cuaca musim sejuk yang kadang kala mencecah -3 darjah celcius, ditambah pula dengan tekanan emosi dan mental ketika menghadapi suasana kejap ada kejap tiada elektrik.

Saya teringat lagi, air mata saya sudah mula jatuh ke bumi dek kerana tertekan akibat terpaksa menyiapkan assignment2 dalam keadaan sebegitu. Benar-benar menguji mental dan fizikal. Allahurabbi..

Semua kerja-kerja yang perlu di selesaikan tertangguh akibat ketiadaan elektrik. Dan kami terpaksa menghabiskan masa sepanjang ketiadaan elektrik itu di dalam selimut yang tebal bagi menahan diri dari kesejukan yang teramat. Ditambah pula dengan suasana gelap, maka kesudahannya..  enak di buaii mimpii…~ (tidur di dalam selimut yang tebal & empuk)

Saat itu, hati ini tiba-tiba rasa cemburu kepada sahabat-sahabat yang berada di Malaysia. Mana tidaknya, saat saya terpaksa menempuh pelbagai dugaan dalam keadaan sedih dan tertekan, mereka pasti sedang berseronok di Malaysia bersama keluarga tercinta sambil menikmati makanan-makanan yang lazat dan enak. Uuhhh…~

Namun, saya kuatkan juga langkah kaki untuk menghadapi semua ini. Saya masih bersyukur dengan nikmat adanya elektrik setiap 3 jam itu, jika dibandingkan dengan saudara-saudara kita yang berada di Palestin yang tidak dibekalkan elektrik langsung, saya rasa saya jauh lebih bertuah dan ujian mereka jauh lebih dahsyat. Saya berbisik kepada hati kecil saya,

“ Aku yang pilih jalan ni. Kalau aku xnak hadapi semua ni baik aku balik Malaysia, boleh hidup senang lenang kat sana. Aku yang pilih, maka aku perlu hadapi semua ni dan jangan merungut”.

 

SERANGAN MINGGUAN

Dahulunya hari Jumaat merupakan hari untuk kami saling ber usrah dan ziarah-menziarahi, namun bermula awal tahun 2012, usrah tidak lagi relevan untuk diadakan pada hari Jumaat. Ini kerana hampir setiap hari Jumaat akan berlakunya letupan bom yang kuat sehinggakan kami dapat merasakan gegaran letupan tersebut.

Pelajar-pelajar lelaki hanya dibenarkan untuk pergi ke masjid-masjid yang berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat. Mereka juga perlu berhati-hati, kerana seusai solat jumaat kebiasaanya rakyat Syria akan melakukan demonstrasi menentang kezaliman kerajaan. Malah, ada ketika askar-askar kerajaan membuat serangan dan melemparkan gas pemedih mata ke dalam masjid ketika masih ada jemaah yang sedang menunaikan solat sunat di dalam masjid itu.

 

PERTEMPURAN MULA MEMASUKI DIMASYQ

Sebelum ini, pertempuran yang berlaku di antara askar kerajaan dan askar pembebasan hanya berlaku di pinggir-pinggir kawasan Dimasq seperti di Riff Dimasyq (country side ), Kafarbatna, Qabun, Barzah dan sebagainya dimana kawasan-kawasan tersebut bukan merupakan penempatan perlajar serta rakyat Malaysia dan bukan merupakan tempat tumpuan pelajar-pelajar Malaysia.

Namun kali ini tentera-tentera kerajaan Bashar al-Asad dan Free Syrian Army ( FSA ) sudah mula bertempur di kawasan rumah kediaman pelajar-pelajar Malaysia iaitu di kawasaan Sinaah, Medan, Jazmatieh, dan Mujtahid.

Saya masih teringat detik bermulanya pertempuran itu berlaku. Sehari selepas saya dan rakan-rakan di Jamiah Abu Nur tamat imtihan (peperiksaan), kami menghadiri kelas pengajian Hadith di masjid Abu Nur. Usai pengajian, saya dan sahabat-sahabat serumah saya pergi menziarahi seorang sahabat yang tinggal di Suq Sarijeh yang rumahnya berada di tengah-tengah kawasan pasar. Sempat kami masak dan makan bersama-sama. Tiba-tiba, kira-kira jam 2 tengah hari terdengar suara lelaki menjerit mengarahkan agar semua kedai disitu untuk segera tutup dan orang-orang awam terutama wanita di minta untuk masuk ke rumah dengan segera. Maka kedengaran bunyi pintu-pintu kedai ditutup dan orang ramai berlari-lari untuk cari tempat perlindungan. Sempat saya mengintai dari tingkap rumah, kelihatan masih ada beberapa kedai yang belum di tutup. Seorang lelaki lantas menjerit mengarahkan supaya kedai itu segera di tutup.

Lebih kurang 5 minit kemudian, kedengaran bunyi tembak menembak di kawasan itu. Diri terasa antara percaya atau tidak yang perang berlaku di luar sana. Kami duduk jauh dari tingkap dan dinding, bimbang kalau-kalau ada peluru sesat menembusi dinding rumah itu.

Dalam pada itu, kami bersepakat untuk tidak pulang ke rumah sekirannya keadaan itu berlarutan sehingga ke lewat petang. Kira-kira jam 4 petang, bunyi tembakan tidak kedengaran lagi dan orang ramai sudah kembali membeli belah di pasar itu. Jadi kami rasakan keadaan agak selamat untuk kami pulang.

Sejam kemudian, kami mula bergerak untuk pulang. Kami melangkah keluar dari rumah itu dengan penuh doa dan tawakkal. Keadaan di luar nampak seperti tiada yang mencurigakan. Sempat singgah di beberapa kedai untuk membeli barang.

Kami menuju ke Fahameh(nama kawasan) untuk menahan servis (panggilan untuk kenderaan awam yg merupakan sebuah van). Kaki baru sahaja beberapa langkah melepasi kawasan jamek Zaid, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan. Tercari-cari dari manakah datangnya bunyi tembakan itu. Orang ramai yang berada di situ juga tercari-cari sambil mendongakkan kepala melihat langit.  Langkah kaki tiba-tiba menjadi laju, dek kerana takut terkena peluru sesat. Orang ramai juga turut berlari-lari. Kami segera menuju ke tempat menunggu servis. Kelihatan dari jauh seperti semua servis yang akan lalu di kawasan rumah saya penuh. Sambil berlari anak, hati berdoa

‘ Ya Allah, mintak-mintak la ada servis kosong lalu nanti..’

Tiba-tiba ada servis yang di pandu agak laju dan hanya mempunyai beberapa orang penumpang berhenti di hadapan kami ketika belum sempat kami tiba di hujung jalan. Pintu automatic servis itu segera di buka oleh pemandu bagi membolehkan kami masuk dengan segera. Kami duduk di dalam servis sambil tidak berhenti-henti mengucap Alhamdulillah dan syukur.

Malam itu, baru kami tahu bahawa itulah hari pertama pertempuran berlaku antara tentera kerajaan dan FSA di dalam kawasan Bandar Dimasyq.

 

gambar sekadar hiasan

gambar sekadar hiasan

SUASANA PERANG

Sejak hari itu, suasana menjadi tegang. Namun suasana di kawasan Ruknuddin tidaklah setegang di kawasan Mujtahid. Saya dikhabarkan peperangan yang dahsyat berlaku di kawasan Sinaah, Medan dan Mujtahid.. di mana ia merupakan kawasan kediaman kebanyakan pelajar Malaysia.

Hati antara percaya dan tidak yang perang dahsyat kini benar-benar berlaku di Dimasyq. Suasana menjadi tegang. Semua kelas talaqi kami di Abu Nur diberhentikan.

Bunyi tembak menembak seolah-olah menjadi hidangan buat kami. Namun, Alhamdulillah.. peperangan di kawasan kami (Ruknuddin) tidak seteruk di kawasan Medan. Ada waktu-waktunya ‘mereka’ berhenti ‘bermain’ dengan senjata api.

Tiga hari berlalu, kami dan masyarakat arab sudah boleh membaca waktu dan masa mereka berperang.

Pagi-pagi hari, suara jeritan senapang dan pistol akan kedengaran. Ditambah pula dengan helicopter yang berjam-jam akan berpusing-pusing di langit sekitar kediaman kami. Tidak cukup dengan itu, kedengaran bunyi tembakan dari helicopter tersebut. Entah pada siapa sasaran itu di kenakan.

Suasana akan menjadi tenang menjelang tengah hari. Pada saat itulah orang ramai akan keluar rumah untuk membeli barang makanan serta membuat urusan penting.

Kami juga tidak ketinggalan merebut waktu-waktu berharga itu. Kami membahagi-bahagikan tugas penting yang perlu diselesaikan diantara ahli rumah agar tugas itu dapat diselesaikan sebelum ‘permainan’ itu kembali semula.

Saya dan sahabat karib saya ditugaskan untuk membeli barangan makanan mentah untuk untuk dijadikan stok selama beberapa hari. Bimbang kalau-kalau untuk hari-hari yang berikut kami tak mampu keluar rumah untuk mendapatkan barang makanan.

Keluar sahaja dari rumah, alangkah terkejutnya kami melihat suasana sekeliling.

Cermin salah sebuah kedai di bawah rumah kami pecah dan retak. Kelihatan kesan peluru menembusi cermin itu.

Cermin sebuah teksi yang parking tidak jauh dari rumah kami juga pecah ditembusi peluru nakal.

Plastik-plastik sampah meninggi ditepi jalan hadapan rumah saya. Sampah-sampah yang bertaburan seolah-olah menjadi perhiasan jalan raya.

Saat itu terasa pelik.. hati mula berbisik,

“ Pelik, time-time perang ni kenapa tibe2 banyak sampah plak. Patutnya banyak peluru atas jalan, tp ni banyak sampah plak. Takkan dorang berperang tembak-menembak berpelurukan sampah plak kot ”

Tak lama selepas itu, barulah jawapan kepada teka teki terlintas di fikiran.

Patutlah sampah bersepah-sepah dan tinggi menggunung, pekerja-pekerja dan lori pengutip sampah sudah beberapa hari tidak bertugas. Macam mana nak bertugas kalau perang sedang rancak berlaku. Takkan pula mereka nak menggadai nyawa semata-mata untuk mengutip sampah.. huhu

Kami meneruskan langkah kami untuk memberi stok barang-barang makanan. Kelihatan ramai orang arab tak kira lelaki mahupun perempuan berada di jalanan pada masa itu. Malah angka mereka yang dijalanan ramai dari yang kebiasaan. Suasana seperti menjadi kelam kabut. Masing-masing menghayun langkah laju sambil menayangkan wajah cemas mereka. Kedai-kedai runcit dipenuhi bangsa arab. Rupanya mereka juga seperti kami, menggunakan waktu rehat para tentera untuk membeli barang keperluan.

Langkah pantas menuju ke kedai yang berhampiran..

(bersambung..)

About Nur Shazareen

Hampir menjadi Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Dakwah & Pengajian Islam di Universiti Syeikh Ahmad KIftaro, Damascus Syria. Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Dakwah & Usuluddin di Al-Madinah International University. Seorang isteri kepada suami yang hensem, dan ibu kepada dua cahaya mata yang comel. Seorang 'ustazah cabuk' yang cuba ingin berdakwah secara versatile.

Posted on July 13, 2013, in episod kehidupan and tagged . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: