Category Archives: episod kehidupan

Maafkan Kami Syria (Part 1)

Umayyad_Mosque_Damascus

 

Detik demi detik, hari demi hari, minggu demi minggu kian berlalu. Sedar tak sedar sudah hampir 1 tahun jasad ini meninggalkan bumi syam. Namun hanya jasad yang berada di Malaysia, tetapi jiwa dan roh yang menjadi teman setia kepada jasad masih lagi berada di bumi syam.

Jari jemari ini sepatutnya menari di atas keyboard setahun yang lalu untuk menceritakan detik-detik cemas yang dilalui sepanjang keberadaan kami di sana menjadi saksi bahawa peperangan itu benar-benar berlaku di bumi syam. Namun, jari jemari ini di gari seketika kerana bimbang hati akan terus menangis rindukan saat indah suka dan duka di bumi Allah Syria. Semakin di gari, semakin itu hati terus menangis. Lalu saya bebaskan jari jemari ini menari mengikut rentaknya sendiri bagi mencorak lakaran sepanjang detik –detik akhir kami di sana.

***

September 2011, tiga trip penghantaran pulang pelajar-pelajar yang berada di Syria ke Malaysia dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia. Keputusan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia itu amat memeranjatkan setiap dari diri anak Malaysia yang berada di bumi Syam pada ketika itu, kerana pada waktu itu perang masih belum lagi memasuki kawasan Dimasyq. Keadaan di Dimasyq masih tenang seperti sedia kala, jadual harian dan kelas-kelas pengajian berjalan seperti biasa. Cuma tidak dapat dinafikan, rakyat-rakyat Dimasyq tetap berdiri berdemonstrasi setiap minggu seusai solat Jumaat menentang kezaliman yang berlaku ke atas rakyat mereka sendiri.

26 November 2011, saya dan lebih 10 orang rakan lain mengambil keputusan untuk kembali semula ke Dimasyq memandangkan pengajian bagi sesi 2011/2012 yang merupakan tahun terakhir pengajian saya untuk menamatkan pembelajaran di peringkat ijazah telah pun bermula lebih sebulan. Kami juga menerima khabar melalui rakan-rakan yang masih berada di Dimasyq mengatakan keadaan di Dimaysq masih stabil dan kelas pengajian masih berjalan seperti biasa. Selepas kepulangan kami ke bumi syam, beberapa kumpulan pelajar lain turut pulang menjejakkan kaki semula ke Syria.

 

FOKUS KEPADA MUTIARA ILMU

Dalam situasi sedemikian rupa, kami sering memperingatkan diri sendiri bahawa kami mungkin akan keluar meninggalkan Syria bila-bila masa sahaja sekiranya keadaan di Syria menjadi tegang. Oleh itu, ramai yang tidak mensia-siakan peluang keemasan mereka berada di bumi yang penuh dengan lautan ilmu. Fokus harian adalah untuk mengaut sebanyak mana mungkin ilmu, tidak kira di mana dan apa cara sekali pun.

Aktiviti-aktiviti sampingan seperti window shopping dan bersiar-siar kami kurangkan. Begitu juga dengan program-program persatuan, namun beberapa program dan aktiviti tidak formal tetap dijalankan untuk memastikan kemantapan ukhuwah seperantaun kami di sana terjaga.

Seletih mana pun saya selepas mesyuarat yang berlangsung berjam-jam pada pagi itu di rumah persatuan, saya tetap akan masuk ke kuliah pada jam 12.30 tengahari sehingga 5.30 petang. Sepenat mana otak saya menerima input-input ilmu Feqah dan Sirah oleh Anisah Iman pada pagi itu, saya tetap juga akan pergi ke Kuliah seusai talaqi bersama beliau di Dar Hajibiah. Ini kerana saya telah berpesan dan sentiasa memberi peringatan kepada diri, biarlah letih mengejar ilmu sekarang, asal jangan saya keluar dari Syria dalam keadaan penuh penyesalan kerana tidak bersungguh menuntut ilmu dari ahlinya.

 

CABARAN YANG PERLU DI HADAPI

Selain dari kenaikkan harga barangan secara mendadak ekoran dari kejatuhan mata wang Lera Syria (LS) dan juga kesukaran untuk mendapatkan gas yang pada masa yang sama harga satu tong gas juga melonjak tinggi hampir 4 kali ganda, masalah gangguan tenaga elektrik juga menjadi cabaran terbesar bagi kami di sana.

Sudah menjadi kebiasaan kepada kami dengan ketiadaan elektrik di sana setiap hari selama 2 jam. Tetapi pada suatu ketika itu, mereka memutuskan elektrik setiap 3 jam. Bermakna 3 jam akan ada elektrik, 3 jam kemudian tiada. Sebagai contoh,

12 tengahari – 3 petang : tiada elektrik

3 petang – 6 malam : ada elektrik

6 malam – 9 malam : tiada elektrik

9 malam – 12 tengah malam : ada elektrik

Dan begitu la seterusnya sehingga lebih kurang 2 minggu lamanya.

Bayangkan hidup dalam keadaan sedemikian. Sudahlah terpaksa berlawan dengan cuaca musim sejuk yang kadang kala mencecah -3 darjah celcius, ditambah pula dengan tekanan emosi dan mental ketika menghadapi suasana kejap ada kejap tiada elektrik.

Saya teringat lagi, air mata saya sudah mula jatuh ke bumi dek kerana tertekan akibat terpaksa menyiapkan assignment2 dalam keadaan sebegitu. Benar-benar menguji mental dan fizikal. Allahurabbi..

Semua kerja-kerja yang perlu di selesaikan tertangguh akibat ketiadaan elektrik. Dan kami terpaksa menghabiskan masa sepanjang ketiadaan elektrik itu di dalam selimut yang tebal bagi menahan diri dari kesejukan yang teramat. Ditambah pula dengan suasana gelap, maka kesudahannya..  enak di buaii mimpii…~ (tidur di dalam selimut yang tebal & empuk)

Saat itu, hati ini tiba-tiba rasa cemburu kepada sahabat-sahabat yang berada di Malaysia. Mana tidaknya, saat saya terpaksa menempuh pelbagai dugaan dalam keadaan sedih dan tertekan, mereka pasti sedang berseronok di Malaysia bersama keluarga tercinta sambil menikmati makanan-makanan yang lazat dan enak. Uuhhh…~

Namun, saya kuatkan juga langkah kaki untuk menghadapi semua ini. Saya masih bersyukur dengan nikmat adanya elektrik setiap 3 jam itu, jika dibandingkan dengan saudara-saudara kita yang berada di Palestin yang tidak dibekalkan elektrik langsung, saya rasa saya jauh lebih bertuah dan ujian mereka jauh lebih dahsyat. Saya berbisik kepada hati kecil saya,

“ Aku yang pilih jalan ni. Kalau aku xnak hadapi semua ni baik aku balik Malaysia, boleh hidup senang lenang kat sana. Aku yang pilih, maka aku perlu hadapi semua ni dan jangan merungut”.

 

SERANGAN MINGGUAN

Dahulunya hari Jumaat merupakan hari untuk kami saling ber usrah dan ziarah-menziarahi, namun bermula awal tahun 2012, usrah tidak lagi relevan untuk diadakan pada hari Jumaat. Ini kerana hampir setiap hari Jumaat akan berlakunya letupan bom yang kuat sehinggakan kami dapat merasakan gegaran letupan tersebut.

Pelajar-pelajar lelaki hanya dibenarkan untuk pergi ke masjid-masjid yang berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat. Mereka juga perlu berhati-hati, kerana seusai solat jumaat kebiasaanya rakyat Syria akan melakukan demonstrasi menentang kezaliman kerajaan. Malah, ada ketika askar-askar kerajaan membuat serangan dan melemparkan gas pemedih mata ke dalam masjid ketika masih ada jemaah yang sedang menunaikan solat sunat di dalam masjid itu.

 

PERTEMPURAN MULA MEMASUKI DIMASYQ

Sebelum ini, pertempuran yang berlaku di antara askar kerajaan dan askar pembebasan hanya berlaku di pinggir-pinggir kawasan Dimasq seperti di Riff Dimasyq (country side ), Kafarbatna, Qabun, Barzah dan sebagainya dimana kawasan-kawasan tersebut bukan merupakan penempatan perlajar serta rakyat Malaysia dan bukan merupakan tempat tumpuan pelajar-pelajar Malaysia.

Namun kali ini tentera-tentera kerajaan Bashar al-Asad dan Free Syrian Army ( FSA ) sudah mula bertempur di kawasan rumah kediaman pelajar-pelajar Malaysia iaitu di kawasaan Sinaah, Medan, Jazmatieh, dan Mujtahid.

Saya masih teringat detik bermulanya pertempuran itu berlaku. Sehari selepas saya dan rakan-rakan di Jamiah Abu Nur tamat imtihan (peperiksaan), kami menghadiri kelas pengajian Hadith di masjid Abu Nur. Usai pengajian, saya dan sahabat-sahabat serumah saya pergi menziarahi seorang sahabat yang tinggal di Suq Sarijeh yang rumahnya berada di tengah-tengah kawasan pasar. Sempat kami masak dan makan bersama-sama. Tiba-tiba, kira-kira jam 2 tengah hari terdengar suara lelaki menjerit mengarahkan agar semua kedai disitu untuk segera tutup dan orang-orang awam terutama wanita di minta untuk masuk ke rumah dengan segera. Maka kedengaran bunyi pintu-pintu kedai ditutup dan orang ramai berlari-lari untuk cari tempat perlindungan. Sempat saya mengintai dari tingkap rumah, kelihatan masih ada beberapa kedai yang belum di tutup. Seorang lelaki lantas menjerit mengarahkan supaya kedai itu segera di tutup.

Lebih kurang 5 minit kemudian, kedengaran bunyi tembak menembak di kawasan itu. Diri terasa antara percaya atau tidak yang perang berlaku di luar sana. Kami duduk jauh dari tingkap dan dinding, bimbang kalau-kalau ada peluru sesat menembusi dinding rumah itu.

Dalam pada itu, kami bersepakat untuk tidak pulang ke rumah sekirannya keadaan itu berlarutan sehingga ke lewat petang. Kira-kira jam 4 petang, bunyi tembakan tidak kedengaran lagi dan orang ramai sudah kembali membeli belah di pasar itu. Jadi kami rasakan keadaan agak selamat untuk kami pulang.

Sejam kemudian, kami mula bergerak untuk pulang. Kami melangkah keluar dari rumah itu dengan penuh doa dan tawakkal. Keadaan di luar nampak seperti tiada yang mencurigakan. Sempat singgah di beberapa kedai untuk membeli barang.

Kami menuju ke Fahameh(nama kawasan) untuk menahan servis (panggilan untuk kenderaan awam yg merupakan sebuah van). Kaki baru sahaja beberapa langkah melepasi kawasan jamek Zaid, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan. Tercari-cari dari manakah datangnya bunyi tembakan itu. Orang ramai yang berada di situ juga tercari-cari sambil mendongakkan kepala melihat langit.  Langkah kaki tiba-tiba menjadi laju, dek kerana takut terkena peluru sesat. Orang ramai juga turut berlari-lari. Kami segera menuju ke tempat menunggu servis. Kelihatan dari jauh seperti semua servis yang akan lalu di kawasan rumah saya penuh. Sambil berlari anak, hati berdoa

‘ Ya Allah, mintak-mintak la ada servis kosong lalu nanti..’

Tiba-tiba ada servis yang di pandu agak laju dan hanya mempunyai beberapa orang penumpang berhenti di hadapan kami ketika belum sempat kami tiba di hujung jalan. Pintu automatic servis itu segera di buka oleh pemandu bagi membolehkan kami masuk dengan segera. Kami duduk di dalam servis sambil tidak berhenti-henti mengucap Alhamdulillah dan syukur.

Malam itu, baru kami tahu bahawa itulah hari pertama pertempuran berlaku antara tentera kerajaan dan FSA di dalam kawasan Bandar Dimasyq.

 

gambar sekadar hiasan

gambar sekadar hiasan

SUASANA PERANG

Sejak hari itu, suasana menjadi tegang. Namun suasana di kawasan Ruknuddin tidaklah setegang di kawasan Mujtahid. Saya dikhabarkan peperangan yang dahsyat berlaku di kawasan Sinaah, Medan dan Mujtahid.. di mana ia merupakan kawasan kediaman kebanyakan pelajar Malaysia.

Hati antara percaya dan tidak yang perang dahsyat kini benar-benar berlaku di Dimasyq. Suasana menjadi tegang. Semua kelas talaqi kami di Abu Nur diberhentikan.

Bunyi tembak menembak seolah-olah menjadi hidangan buat kami. Namun, Alhamdulillah.. peperangan di kawasan kami (Ruknuddin) tidak seteruk di kawasan Medan. Ada waktu-waktunya ‘mereka’ berhenti ‘bermain’ dengan senjata api.

Tiga hari berlalu, kami dan masyarakat arab sudah boleh membaca waktu dan masa mereka berperang.

Pagi-pagi hari, suara jeritan senapang dan pistol akan kedengaran. Ditambah pula dengan helicopter yang berjam-jam akan berpusing-pusing di langit sekitar kediaman kami. Tidak cukup dengan itu, kedengaran bunyi tembakan dari helicopter tersebut. Entah pada siapa sasaran itu di kenakan.

Suasana akan menjadi tenang menjelang tengah hari. Pada saat itulah orang ramai akan keluar rumah untuk membeli barang makanan serta membuat urusan penting.

Kami juga tidak ketinggalan merebut waktu-waktu berharga itu. Kami membahagi-bahagikan tugas penting yang perlu diselesaikan diantara ahli rumah agar tugas itu dapat diselesaikan sebelum ‘permainan’ itu kembali semula.

Saya dan sahabat karib saya ditugaskan untuk membeli barangan makanan mentah untuk untuk dijadikan stok selama beberapa hari. Bimbang kalau-kalau untuk hari-hari yang berikut kami tak mampu keluar rumah untuk mendapatkan barang makanan.

Keluar sahaja dari rumah, alangkah terkejutnya kami melihat suasana sekeliling.

Cermin salah sebuah kedai di bawah rumah kami pecah dan retak. Kelihatan kesan peluru menembusi cermin itu.

Cermin sebuah teksi yang parking tidak jauh dari rumah kami juga pecah ditembusi peluru nakal.

Plastik-plastik sampah meninggi ditepi jalan hadapan rumah saya. Sampah-sampah yang bertaburan seolah-olah menjadi perhiasan jalan raya.

Saat itu terasa pelik.. hati mula berbisik,

“ Pelik, time-time perang ni kenapa tibe2 banyak sampah plak. Patutnya banyak peluru atas jalan, tp ni banyak sampah plak. Takkan dorang berperang tembak-menembak berpelurukan sampah plak kot ”

Tak lama selepas itu, barulah jawapan kepada teka teki terlintas di fikiran.

Patutlah sampah bersepah-sepah dan tinggi menggunung, pekerja-pekerja dan lori pengutip sampah sudah beberapa hari tidak bertugas. Macam mana nak bertugas kalau perang sedang rancak berlaku. Takkan pula mereka nak menggadai nyawa semata-mata untuk mengutip sampah.. huhu

Kami meneruskan langkah kami untuk memberi stok barang-barang makanan. Kelihatan ramai orang arab tak kira lelaki mahupun perempuan berada di jalanan pada masa itu. Malah angka mereka yang dijalanan ramai dari yang kebiasaan. Suasana seperti menjadi kelam kabut. Masing-masing menghayun langkah laju sambil menayangkan wajah cemas mereka. Kedai-kedai runcit dipenuhi bangsa arab. Rupanya mereka juga seperti kami, menggunakan waktu rehat para tentera untuk membeli barang keperluan.

Langkah pantas menuju ke kedai yang berhampiran..

(bersambung..)

Advertisements

Pengalaman Imtihan Ketika Kebangkitan Rakyat Syria

 

” ko kena kuat, baca quran bg diri ko tenang. igt, kita usaha tp jgn beriman kejayaan dtg dgn usaha semata2. baca je,usaha je. selebihnya, Allah tentukan. Doa byk2 kt Allah. Aku jauh, tapi Allah dekat ”  

message yang ku terima dari sahabat karibku yang telah menguatkan diri ini dikala diri ini lemah.

Hampir sebulan bercinta dengan kitab-kitab, hampir sebulan terikat dgn temujanji bersama anisah-anisah yang menjaga dewan peperiksaan, hampir sebulan kopi radix menjadi minuman ketika sedang ber’dating’ bersama kitab, dan hampir sebulan berhadapan dengan perasaan yang berdebar dan gundah gelana setiap hari…

Alhamdulillah.. kini saya mampu menghirup udara kemenangan yang belum pasti.

Begitulah hari-hari yang kami lalui sepanjang tempoh imtihan kali ini. Tidak ada kata yang mampu diluahkan untuk menggambarkan kepenatan akal,emosi dan fizikal  kami ketika itu melainkan ianya seumpama berada dimedan perang yang bersenjatakan akal dan pen.

Alhamdulillah.. Allah memberi kekuatan kepada hambanya yang hina ini untuk mengharungi segala keperitan dan kepayahan. Tanpa kekuatan dan bantuan daripada Allah pasti saya akan tersungkur sebelum sampai ke garisan penamat.

Namun, banyak pengalaman baru yang sudi bertandang di dalam diari hidup saya  sepanjang fatrah imtihan, tambahan pula hidup di Negara yang sedang bergolak ini.

 

HARI-HARI TERAKHIR SEBELUM IMTIHAN BERMULA

3 hari sebelum imtihan bermula, ketika saya sedang belajar tiba-tiba terdengar handset berbunyi, di skrin tertera panggilan masuk oleh Ketua Dewan Helwi. Setelah memberi salam dan bertanyakan khabar, kak lina memulakan perbualan..

Erin, akak dapat satu maklumat dari orang arab. Pukul 12 tengah hari nanti semua kedai di Dimasyq akan tutup. Semua kedai nak buat mogok besar-besaran. Mungkin mogok ni akan berterusan sebulan atau dua bulan.”

“  Kawasan Mujtahid je ke atau satu DimasyQ kak? “  saya bertanya, sebab di kawasan sekitar Mujtahid pada ketika itu memang sudah beberapa hari kedai-kedai tidak di buka tanda mogok kepada kerajaan selepas pembunuhan kanak-kanak besar-besaran di perkampuangan Haurah.

yang arab tadi tu kata satu DimasyQ. Tapi tak tau la. Takpe la, betul atau tak yang penting kita berjaga-jaga. Ahli bait akak pun akak keluar beli stok barang-barang asasi. Ahsannya, ahli bait Erin pun beli la dulu stok makanan. Kalau betul-betul ada mogok, kita dah ada bekalan makanan, kalau xde pun, xrugi kita beli awal-awal.”

Jam di dinding menunjukkan jam 11.25 pagi, hanya ada 35 minit sahaja lagi sebelum jam 12 tengahari. Saya terus memaklumkan hal ini kepada rakan-rakan serumah. Semua terus tercengang mendengar pangkhabaran dari saya sambil melihat jam dinding.

Relax, benda ni kita tak tau lagi betul ke tak akan berlaku, tapi kita ambil langkah jaga-jaga la. Kalau dorang xjadi mogok pun, tak rugi kita beli stok makanan siap2.”

Kami segera menyenaraikan senarai barang keperluan yang perlu di beli sambil membahagi-bahagi tugasan membeli barang kepada setiap ahli bait. Kemudian kami keluar membeli belah sambil melihat keadaan sekeliling. Memang ada kedai yang tutup, tapi kebanyakannya masih meneruskan perniagaan seperti biasa.

Alhamdulillah, khabar yang disampaikan oleh ketua helwi itu tidak berlaku di kawasan Ruknuddin. Mereka meneruskan perniagaan seperti tiada apa yang berlaku. Sempat saya bersembang dengan ammu (pak cik ) peniaga di bawah rumah saya tentang hal ini, ammu kata

“ Aku akan tutup, tapi bukan hari ini. Bila tiba waktunya aku akan tutup kedai aku, bukan aku je yang akan tutup tapi kami sumua peniaga akan tutup kedai ketika tu ”  sambil die mengangkat tangan dan membuat lakaran bulatan isyarat kepada mereka keseluruhan.

Saya hanya tersenyum di sebalik purdah sambil berkata..

Insya Allah, an-nasrun qoribb ”.

 

BUNYI ITU SEAKAN-AKAN SUDAH LALI DI TELINGA KAMI

Malam itu kira-kira jam 11 malam saya sedang sibuk mentelaah subjek Nahu, keesokannya imtihan akan bermula pada jam 10 pagi. Tiba-tiba kami serumah terdengar  bunyi tembakan berderu-deru. Kami saling memandang antara satu sama lain, masing-masing membuat memik muka terkejut. Bunyi tembakan itu semakin kuat seperti semakin menghampiri rumah kami. Ya, bunyi itu betul-betul datang dari bawah rumah kami. Bunyi tembakan itu terus kedengaran dan lama kelamaan ia tidak kedengaran lagi. Kami saling tertanya, apa sebenarnya yang mereka sasarkan? Sekadar untuk menakutkan orang sekeliling atau memang mereka sedang mengejar seseorang..  Setelah ianyanya tidak kedengaran lagi, kami  pun meneruskan ulang kaji.

Tiba-tiba, kami terdengar bunyi bom. Tapi ianya sekadar bunyi, kami tidak merasakan sebarang gegaran. Hampir 5 kali bunyi itu menyelinap masuk ke rumah kami. Kami tertanya-tanya di manakah agaknya bom itu meletup, kerana dari bunyi bom itu seakan-akan bukan datang dari sekitar kawasan rumah kami dan sekitar Abu Nur. Ketika terdengar bunyi itu, saya hanya mampu berdoa di dalam hati, semoga Allah menyelamatkan orang-orang muslim di luar sana.

Tidak lama kemudian, kami terdengar pula bunyi seakan-akan bunyi tembakan dari ‘bazuka’. Wallahu’alam betul atau tidak firasat kami, tetapi bunyi yang kami dengari kali ini sedikit halus dari bunyi bom.

Henset saya mula didatangi mesej dari sahabat-sahabat bertanyakan khabar kami serumah.  Mereka yang lain juga turut terdengar bunyi-bunyi letupan dan mereka merasakan seolah-olah bunyi itu datang dari kawasan rumah kami. Saya membalas satu persatu mesej mereka dengan memberitahu keadaan kami yang masih selamat dan bunyi letupan bom itu bukan dari kawasan rumah kami.

Malam-malam yang seterusnya, malah pada siang hari juga kadang-kadang kami terdengar bunyi letupan. Tapi kebiasaanya bunyi letupan yang kami dengar hanya samar-samar. Kemungkinan letupan itu berlaku di kawasan Barzah dan Qabun yang sering diserang oleh tentera Syria.. Wallahua’lam..

 

TAK AMBIL EXAM

Kisah pertama :  salahkan jam !

Kami berlima pelajar Malaysia yang bersama berada di tahun 4 kuliah Dakwah Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro berazam untuk sama-sama takharuj (grad) pada tahun ini. Kami saling menguatkan antara satu sama lain dan saling membantu antara satu sama lain. Setiap hari kami saling bertukar semangat melalui mesej dan kata-kata.

Hari itu, imtihan subjek Hadharah Islamiah. Tanpa kami sedari, seorang dari kami tidak datang imtihan pada hari itu. K. Ziela tak duduk sedewan imtihan dengan saya. Jadi yang perasan k.Ziela tak hadir pada waktu itu hanya Kak seorang. Pukul 11, kami dibenarkan utk menghantar kertas soalan. Saya kebiasaanya akan terus berada di dalam dewan sehingga waktu imtihan tamat, iaitu jam 12 tengahari. Kak pula memang selalu keluar awal. Keluar saja kak dari kawasan kuliah Dakwah di tingkat 4, kak ternampak k.Ziela sedang sibuk menghafal point penting subjek Hadharah. Kak terus menyapa k.Ziela

Awat k.zila duk tang ni? Awat tak masuk dewan amik imtihan? “

“ Eh, nak masuk la ni. Lagi 10 minit nak pukul 10 kan? “ jawab k.Ziela.

Laa, la ni pukul 11 dah k.ziela.. orang dah pakat keluar dewan dah..”

K.Ziela terkedu. Rupa-rupanya jam  k.Ziela terlewat 1 jam. Hmm.. itulah yang dinamakan takdir..

Kisah kedua : Terlena

Pagi itu, jam 9.50 kami seperti biasa sudah berada di dalam dewan imtihan untuk mengambil subjek  Usul Fiqh.  Saya, Na dan k.Isma duduk sederet di dalam dewan yang sama. Aneh, jam dah menunjukkan jam 10 dan kertas soalan sudah mula diedarkan, tapi tempat duduk k.Isma masih kosong. Mata saya masih melilau ke pintu dewan menanti kedatangan k.Isma. Tapi k.Isma tak muncul-muncul juga sehingga habis waktu imtihan.

Sampai sahaja di rumah, saya terus mencapai henset di atas katil dan menghantar SMS kepada k.Isma untuk bertanyakan khabar.  Rupanya pagi tu k.Isma terlena. Dari malam sebelumnya dia tak dapat tidur dek kerana bunyi tembakan dan bom terlalu kuat sepanjang malam sehingga ke pagi. Menjelang pagi, barulah kawasan rumahnya reda dari bunyi tembakan. K.Isma terus terlena sampai terkorban 1 paper.

Selepas melihat keadaan sahabat-sahabat saya yang tertinggal paper dengan sebab yang tak disengajakan, saya dapat rasa di dalam hati yang saya juga mungkin akan melalui apa yang mereka lalui. Dan akhirnya, saya tidak mengambil imtihan subjek adab islamiah (sastera islam).

 

TUMPANG SEMANGAT SAHABAT ARAB

Kisah pertama : Semangat ibu mengandung

Di dalam kelas pelajar kuliah dakwah tahun 4, ramai sahabat-sahabat arab yang mengandung. Tapi ada 4 orang dijangka bersalin di dalam tempoh imtihan berlangsung. Keempat-empat mereka langsung tidak memberi alasan untuk tidak mengambil imtihan walaupun mereka sarat mengandung. Salah seorangnya adalah Nur Abdul Ghani yang duduk di belakang saya ketika imtihan.

Setiap kali saya melihat Nur, hati saya pasti akan berbisik..

“ Masya Allah.. Kuatnya Nur ni..”

Tiba-tiba ketika imtihan Hadharah sedang berjalan, dia mengangkat tangan untuk meminta keluar dari dewan. Jam baru menunjukkan jam 10.30 pagi. Anisah yang menjaga dewan imtihan membenarkan die keluar. Saya perhatikan Nur sepanjang perjalanan dia menuju ke pintu keluar dewan dengan cara jalan nya yang aneh. Saya bercakap dalam hati..

“ kot-kot Nur ni dah nak bersalin kot..”

Keesokkannya imtihan Bahas Ilmi. Tapi Nur tidak kelihatan. Dua hari selepas tu pula imtihan Usul Fiqh, tempat Nur masih kosong. Kami bersembang-sembang sesama kami, mencari Nur, masing-masing beranggapan mungkin Nur sudah melahirkan anak.

Selang dua hari selepas itu imtihan Thaqafah siasiyah (pengetahuan politik). Kertas soalan sudah pun diedar, Nur tetap juga tidak muncul. Lebih kurang 10 minit selepas imtihan bermula saya ternampak Nur muncul di pintu dewan. Saya tercengang melihat kedatangan Nur. Sebelum ini Nur datang dengan perutnya yang bulat, tapi kali ini Nur datang dengan perutnya yang sudah ‘slim’. Pandangan mata saya tidak berhenti melihat Nur sehingga la die duduk di meja imtihan.

Nur juga datang mengambil imtihan untuk subjek-subjek selepas itu. Bukan sekadar itu, sebelum masuk ke dewan dia sering menjadi rujukan sahabat-sahabat lain bertanya soalan di masa last minute sebelum imtihan bermula. Malah, ketika sahabat-sahabat lain down dan seakan-akan berputus asa sebelum masuk ke dewan, Nur yang memberi semangat kepada mereka. Subhanallah, Nur hanya  berehat selepas bersalin hanya 4 hari sahaja. Selebihnya Nur bersama kami berjuang di dalam dewan peperiksaan.

Begitu juga dengan kisah sahabat kami bernama Lamyak. Selepas seminggu bersalin, die terus hadir untuk mengambil imtihan bersama dengan anak perempuannya yang masih merah.

Setiap kali saya berasa lemah dan tidak bersemangat untuk meneruskan imtihan, saya pasti akan teringat kepada Nur. Nur berhadapan dengan lebih banyak dugaan dan cubaan, tapi dia masih kuat merentasi segala ujian yang datang ketika imtihan. Apalah sangat ujian yang Allah uji kepada saya berbanding dengan ujian yang Nur hadapi.

 

RUMAH TERBAKAR???

Gas rumah kami sudah hampir sebulan habis. Damascus ketika itu dan sehingga kini memang sukar untuk mendapatkan gas. Sudahlah susah nak dapat gas, harga pula melompat terlampau tinggi. Harga asal setong gas ketika  zaman revolusi arab Syria adalah 475 Lera (kira-kira Rm 25 ) tapi harga setong gas terus melonjak kepada 2500 Lera ( kira-kira RM 180 ).

Jadi dengan ketiadaan gas, kami menggunakan dapur elektrik arab yang ‘entik’ kebiasaanya digunakan oleh orang arab pada musim sejuk untuk memasak air di kedai-kedai atau pejabat-pejabat.

Nak di jadikan cerita, pagi itu seorang junior rumah saya baru nak mula memasak. Dapur sudah di hidupkan dan kuali serta sudip sudah di letakkan di atas dapur elektrik itu. Tiba-tiba kawasan rumah kami tiada elektrik. Jadi terhentilah gerak kerja untuk memasak.

Dua jam kemudiaan elektrik ada semula. Tapi si tukang masak tidak terus memulakan kerjanya yang tertangguh di dapur. Selepas 15 minit, saya bangun dari meja study untuk ke tandas. Sejurus selepas saya membuka pintu bilik, bau hangit menyelinap masuk ke bilik. Ruang tamu seakan-akan berasap. Saya terus ke dapur untuk melihat apa yang terjadi. Terkejut saya melihat api sudah menyala di dalam kuali dan dapur masak elektrik juga masih menyala kuat. Dapur ketika itu penuh dengan asap. Saya cuba untuk mengalihkan kuali yang sedang menyarak api didalamnya yang berada di atas dapur masak untuk dipindahkan ke dalam singki, tapi saya gagal berbuat demikian. Saya baru sentuh kuali itu, tetapi saya sudah tidak mampu untuk bernafas di dalam dapur yang penuh dengan asap. Saya terus menjerit kepada ahli rumah supaya mengalihkan kuali itu. Si tukang masak terus mengalihkan kuali itu kedalam singki dan memadam api yang makin besar menyala di dalam kuali dengan membuka paip air.

 Kami semua tidak berhenti-henti batuk kerana menghidu asap itu. Nafas juga mula menjadi sesak. Asap       berkepul-kepul di ruang tamu dan mula masuk ke dalam bilik. Semua tingkap di dalam rumah dibuka. Si tukang masak mengaku silapnya kerana tidak mencabut wayar dapur elektrik ketika ketiadaan elektrik tadi. Sudip yang panjang kini tinggal 1/3 dari batangnya sahaja. Yang lain hancur dibakar api.

Alhamdulillah kami sedar api sudah mula untuk menyala 15 minit sebelum adanya elektrik. Andaikata lebih dari 15 minit, dan kami semua ketika itu masing-masing berada di dalam bilik yang pintunya tertutup rapat… tak tahulah apa nasib yang bakal menimpa kami.

Asap berkepul-kepul mula keluar dari rumah kami. Terdengar suara batuk jiran-jiran arab kami. Tiba-tiba…

 

ting tong…ting tong..’  bunyi loceng rumah kami di tekan banyak kali..

Bermulalah adegan menjawab dengan jiran arab dengan apa yang telah berlaku..

 

LIQA’ TAKHARUJ

Imtihan hampir ke penghujungnya, berbaki lagi 2 paper. Hari itu, selepas imtihan Muqaranah Adyan ( perbandingan agama ) semua pelajar tahun 4 Kuliah Dakwah dan Pengajian Islam menghadiri sesi pertemuan khas bersama Syeikh Syarif Sowaf ( Dekan Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro ) dan Syeikh Bassam ( Dekan Kuliah Dakwah ) bersama dengan beberapa syeikh lain.

Setiap dari syeikh memberi kata-kata azimat kepada kami yang bakal menyinari arena dakwah di tanah air masing-masing. Tatkala mendengar kalam-kalam azimat yang keluar dari bibir mereka, hati melonjak seakan-akan tidak sabar untuk pulang berdakwah di tanah air.

Perasaan mula menjadi sayu tatkala mereka berbicara tentang keadaan negara mereka (Syria) yang kini di alam kebangkitan dan revolusi.

Saya amat tertarik dengan perumpamaan yang diberikan oleh Syeikh Syarif Sowaf berkenaan dengan suasana Syria. Beliau menggambarkan rasa keperitan yang dirasai oleh rakyat Syria. Kesakitannya seperti kesakitan ibu ketika melahirkan anak. Tetapi setelah melihat kelahiran baru itu, segala kesakitan dan keperitan si ibu akan pergi. Ketika itu perasaan gembira menggantikan rasa kesakitan. Begitu juga dengan revolusi yang sedang di lalui oleh rakyat Syria. Segala penat lelah, keperitan dan kesakitan mereka bakal hilang setelah melahirkan kejayaan dan kemenangan yang bakal mereka kecapi tidak lama lagi, InsyaAllah.

Begitulah juga perumpamaan yang dibuat kepada kami pelajar-pelajar  Kuliah Dakwah dan Pengajian Islam tahun 4 yang bakal dilahirkan oleh Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro sebagai Pendakwah Agama Allah ini,walaupun dalam suasana Negara yang bergolak,keperitan dan kesakitan yang dirasai oleh mereka namun pengajian dan peperiksaan tetap diteruskan demi menjamin sebuah kelahiran generasi baru Pendakwah yang bakal meneruskan sirah perjuangan Rasulullah, InsyaAllah.

Liqa (pertemuan) kami pada petang itu di akhiri dengan iqrar dan doa takharruj yang menyebabkan hati ini berasa gentar untuk menggalas amanah dan memikul beban dakwah. Namun, itulah yang menjadi kewajipan kepada kami selaku penuntut Ilmu.

Begitulah serba sedikit dari sebahagian pengalaman ketika imtihan baru-baru ini yang bermula pada 6 Jun dan berakhir pada 2 Julai. Semoga kami semua perolehi keberkatan dan kejayaan dari Allah atas usaha yang telah kami modalkan.

Wallahua’lam..

Gimik Hijrah 1433 : Tarbiah ke Bumi Syam

Alhamdulillah…  1 Muharram 1433H kira-kira jam 11.30pagi waktu Syria (5.30 ptg waktu Malaysia), saya dan 13 rakan lain telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik. Permusafiran kami dari bumi Malaysia yang hampir memakan masa selama 22 jam itu akhirnya menghilangkan segala kepenatan, kerisauan dan kegelisahan kami  setelah berjaya melangkah setapak melepasi imigresen Syria di airport.

Bukan suatu perkara yang mudah untuk menjejakkan kaki di bumi barakah ini. Satu demi satu halangan dan cubaan cuba menggagalkan misi kami ke sini. Situasi persiapan, permusafiran dan perasaan untuk menuju ke bumi Syria tidak semudah dan seriang menuju Negara oversea  lain seperti UK, Paris, Jordan, Mesir dan sebagainya. Sebaliknya, mereka yang berazam untuk ke tempat ini harus merelakan diri untuk menghadapi segala apa rintangan yang bakal menempuhi mereka.

Mereka yang sudah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik belum tentu boleh menjejakkan kaki di bumi Syam. Ramai yang terpaksa berpatah balik kembali ke Malaysia atau terbang ke Negara lain sejurus mereka mendarat di Damsyik dek kerana tidak di beri cop keizinan masuk ke Damsyik oleh pegawai petugas Imigresen. Tiada ketetapan atau syarat-syarat kelayakan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan Syria atau imigresen untuk membenarkan atau menahan seseorang itu dari memasuki Damsyik. Semua ini bergantung kepada nasib. Kalau pegawai imigresen pada waktu itu moodnya baik, maka kita bertuah kerana di izinkan masuk ke Negara mereka. Tapi, jika pegawai-pegawai imigresen  pada waktu itu tidak mempunyai belas kasihan, dan kadang-kadang suka mencari ‘pasal’ terhadap pelajar-pelajar asing yang datang ke Negara mereka, dengan rasa penuh angkuh dan sombong mereka menyekat kita dari memasuki bumi Syria. Perkara ini bukan menjadi masalah kepada rakyat Malaysia sahaja, malah menjadi masalah dan kerisauan kepada semua warga asing yang ingin menagih ilmu di bumi barakah itu.

Disebalik kegelisahan hati untuk meneruskan misi hijrah ke bumi syam ini,akhirnya dengan berkat istikharah dan solat hajat yang berterusan membuatkan hati  saya tetap bertekad untuk kembali ke Syria pada hujung bulan November untuk menyelesaikan misi memburu segulung Ijazah disamping mengutip mutiara-mutiara ilmu dari ulama’-ulama’ di Syam. Alhamdulillah, tarikh 26 November menjadi pilihan.

Pada awalnya kami hanya berempat sahaja, dan kami berpakat untuk tidak menambah bilangan ini khuatir dengan angka yang ramai bakal menyukarkan lagi kami untuk melepasi imigresen Syria seperti yang sering berlaku sebelum ini. Hari demi hari, semakin ramai yang bertanya dan menyatakan hasrat untuk pulang bersama kami. Mulanya saya seakan-akan ingin melarikan diri, kerana tidak mahu mereka pulang bersama saya dan tiga lagi rakan. Namun, hati ini berbicara dan melontarkan beberapa soalan kepada iman dan akal saya…

‘’Aku sapa nak halang dorang dari nak jejakkan kaki di bumi Allah? Sapa aku yang nak halang dorang dari mencari dan mendapat ilmu Allah? Yakin ke dengan angka 4 orang boleh memudahkan  urusan aku kat  imigresen Syria nanti? Kan ke senang or susah sesuatu urusan tu sumenye datang dari Allah. Manelah tau  aku yang banyak dosa ni boleh menumpang berkat dorang yang musafir dengan aku, kot-kot sebab berkat dorang aku boleh masuk Syria. Bumi ni milik Allah Shazareen!! “

Mulai dari saat itu, saya tidak pernah mengelakkan diri dari ditanya mengenai tarikh dan tiket penerbangan ke Syria. Saya juga tidak menghalang mereka untuk bermusafir dengan saya. Malah saya mengalu-alukan mereka untuk sama-sama menyertai misi saya dan rakan-rakan ke bumi anbiya’. Dan saya amat bersyukur, kerana bisa menumpang berkat mereka sepanjang pemusafiran kami nanti.

Sedar tak sedar, rupa-rupanya angka yang asalnya 4 kini menjadi 14! 14 orang kami kesemuanya. Keluarga saya, malah keluarga-keluarga mereka 13 orang itu terkejut dan bimbang dengan angka seramai itu. Kami hanya mampu berdoa moga-moga Allah memberkati dan memudahkan urusan pemusafiran kami.

Semakin hampir tarikh permusafiran kami, semakin gundah gelana jiwa ini. Setiap hari kami membuat solat hajat , setiap kali selesai solat 5 waktu kami berdoa, moga-moga Allah memudahkan kami menjejakkan kaki ke Syria.

Sempat saya berpesan kepada rakan-rakan sepemusafiran agar bersedekah sebelum berangkat. Moga dengan sedekah itu, memudahkan lagi urusan kami.   Hadis nabi Muhammad S.A.W bersabda :

إنّ الصدقة تدفعُ البلاء

‘Sesungguhnya sedekah itu menghalang dari mendapat bala’ ‘

Jam 6 petang, 26 november kami semua berkumpul di KLIA. Urusan Check-in kami agak sukar dan kelam kabut memandangkan ramai yang tiba lewat di KLIA. Berurusan dengan syarikat GulfAir semasa check-in tidak semudah berurusan dengan syarikat Kuwait Airways. Hanya dua kilogram berat terlebih dari peruntukan timbangan bagasi, makin merumitkan lagi urusan kami. Namun, Alhamdulillah akhirnya semua barang-barang kami ‘lepas’ setelah sedikit perbincangan dibuat bersama pegawai bertugas.

Kira-kira jam 8 malam, kami mula memanjat langit dan terbang searas dengan awan ciptaan Allah S.W.T. Setelah hampir 9 jam kami berada di awan, akhirnya kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain. Alhamdulillah, tanpa kami sangka rupanya kami disediakan tempat tinggal di sebuah hotel di Bandar Bahrain sepanjang transit kami selama 8 jam.

Kira-kira jam 7 pagi waktu Bahrain, selepas sarapan pagi di hotel kami dibawa semula ke airport Bahrain oleh petugas hotel dengan menaiki sebuah van. Alhamdulillah, kami berpeluang melihat kemodenan dan keindahan Bandar Bahrain memandangkan hotel yang kami diami betul-betul berada di tengah-tengah Bandar Bahrain.

Sampai saja di airport Bahrain, kami terus menuju ke pintu perlepasan. Di situ, kami merancang beberapa strategi untuk memasuki imigresen airport Syria kelak. Pada awalnya kami merancang untuk di bahagikan kepada tiga kumpulan. Di dalam satu kumpulan terdapat 5 orang ( 3 orang pelajar baru, 2 orang pelajar lama) dan di dalam setiap kumpulan ada orang yang mahir berbahasa arab dan ada yang mahir berbahasa inggeris.

Namun, setelah bermusyawarah timbul satu cadangan baru supaya kami dibahagikan kepada dua kumpulan sahaja. Kumpulan pelajar lama, iaitu mereka yang sudah pernah belajar di Syria. Dan kumpulan pelajar baru, mereka yang baru pertama kali ke Syria untuk belajar.

Semasa di dalam kapal terbang menuju ke Damascus, saya sempat memerhati setiap seorang dari kami. Mulut mereka semua tidak berhenti-henti berkumat-kamit berdoa, merintih dan mengharap kepada Allah agar urusan kami untuk memasuki imigresen Syria dipermudahkan. Macam-macam doa dan ayat quran di amalkan. Dengan harapan moga-moga dengan berkat mukjizat agung itu dapat membantu kami kelak.

Sejurus sampai di airport Damsyik, kumpulan pelajar lama terus menuju ke imigresen. Selepas dari tahun 2006, ini kali kedua saya mendarat di airport Damsyik. Subhanallah, banyak perubahan kemodenan yang dapat di lihat. Kini kaunter imigresen untuk warga asing banyak dibuka. Pada waktu itu ada 5 kaunter dibuka, berbanding pada 2006 hanya terdapat 2 kaunter untuk menguruskan pelancong asing. Kini pegawai-pegawai imigresen di setiap kaunter bergaya menggunakan sebuah komputer bermoniter nipis untuk memasukkan data para pelancong. Berbanding pada tahun 2006, mereka hanya menggunakan sebuah buku catatan yang amat besar dan usang untuk membuat catatan setiap kemasukan pelancong ke Negara mereka (mcm xcaye Syria semundur tu waktu tu).

Ketika di kaunter, pada mulanya nampak seperti semuanya baik. Tiba-tiba pegawai bertugas itu bertanya..

‘’Awak kerja apa?’’ Saya menjawab “pelajar”.

“Awak tinggal di mana?” Saya menjawab “Ruknuddin”.

“Awak belajar di Fatah Islami?” dengan slumber saya jawab “ Nope, saya belajar di Abu Nur ”.

Muka pegawai itu kemudiannya seperti tidak berpuas hati. Seakan-akan saya bakal berhadapan dengan masalah yang besar. Namun, saya tetap melontarkan senyuman  kepada kepada pegawai itu sambil ‘menjampi’ pegawai  itu dengan menggunakan ayat Quran dari surah thoha ayat 39 moga-moga Allah melembutkan hati pegawai itu..

و ألقيتُ عليك محبّةً منّي ولتُصنَعَ على عيني

Pada waktu itu, kesemua pegawai-pegawai yang menguruskan passport rakan-rakan saya yang masing-masing berada di kaunter yang berasingan terhenti selepas mendengar perbualan pegawai di kaunter saya. Mereka seakan-akan mengatakan kami pelajar Fatah dan Abu Nur tidak di izinkan masuk Syria, lebih-lebih lagi kami tiada visa pelajar. Akhirnya ketua mereka datang ke kaunter saya untuk menyelesaikan masalah. Dia meminta dari saya jika mempunyai sebarang surat dari Jami’ah. Saya menunjukkan kepada mereka surat dari Wizarah Auqaf (Kementerian Pelajaran Syria) yang meminta supaya pihak imigresen membenarkan pelajar Jami’ah Fatah dan Abu Nur untuk memasuki Syria. Namun, bukan surat itu yang pegawai itu kehendaki. Kemudian saya memberikan wathiqah dawam (surat yang menyatakan saya pelajar Abu Nur). Selepas melihat surat itu, ketua pegawai  itu terus mengatakan surat ini yang dia mahukan sebenanya, lalu dia memberi arahan kepada pegawai bawahannya supaya melepaskan kami.

Saat ketika melihat dan mendengar bunyi hentakkan cop di passport saya, saat itu hilang segala keresahan dan keletihan. Hati tidak berhenti-henti mengucapkan syukur kepada Allah kerana mengizinkan kami untuk sujud sekali lagi di bumi berkat ini.

Setelah selesai urusan kami, kumpulan pelajar baru pula menggantikan tempat kami di kaunter imigresen. Mereka yang datang berstatuskan sebagai seorang pelancong ditembak dengan pelbagai soalan. Alhamdulillah, Allah juga memudahkan urusan mereka sebagaimana Allah memudahkan urusan kami.

Erti keyakinan dan tawakkal kepada Allah yang cukup tinggi mengajar kami semua dalam permusafiran hijrah ke bumi syam kali ini. Seperti sudah dirancang kami sampai dibumi syam tepat pada tarikh 1 hijrah. Hijrah yang benar-benar membawa erti keyakinan,pengorbanan dan kekuatan jiwa bagi setiap insan yang bersama dalam misi ini.Percayalah dengan keyakinan yang tinggi serta tawakkal kepada Allah Taala InsyaAllah disebaliknya pasti ada aturan yang terbaik untuk kita.benarlah kata Allah di dalam hadis Qudsi :

أنا عند ظنِّ عبدِ بي

Dan Alhamdulillah, kini saya meneruskan rutin saya sebagai seorang pelajar di sini. Meneruskan pembelajaran seperti biasa. Terus mencari mutiara-mutiara ilmu dan memanfaatkan ketenangan dan keberkatan di bumi Syam ini. Bimbang entah esok, entah lusa.. mungkin juga hari ini, Allah akan menarik kembali nikmat yang telah Allah berikan kepada saya di bumi Syam ini. Nauzubillah…

Musafir penuh erti

This slideshow requires JavaScript.

Alhamdulillah.. segala puji bagi Allah, tuhan sekian makhluk. 5 Oktober , Jam 2.50 petang waktu Malaysia, saya dan hampir 40 lagi rakan-rakan penghantaran pulang pelajar Syria trip ke-3 selamat mendarat di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat Emirates tajaan dari pihak kerajaan 100%.

Diri seakan-akan tidak percaya yang kaki sudah menjejakkan kaki di bumi Malaysia. Pengumuman yang dibuat oleh TYT Duta Besar Malaysia ke Syria, Tuan Mat Dris pada 4 Syawal yang lalu ketika semua rakyat Malaysia di Syria menghadiri rumah terbuka kedutaan bersempena Hari Raya Aidilfitri. Pengumuman untuk menghantar pulang semua rakyat Malaysia di Syria dalam masa 2 minggu amat memeranjatkan semua pelajar Syria. Keputusan yang dianggap tergesa-gesa itu mengakibatkan ketidak puasan hati pelajar, tambah-tambah lagi kebanyakan dari kami akan mendudukki imtihan daur thalis seminggu selepas raya.

Keadaan di Damsyik ketika itu agak tenang dan terkawal seakan-akan tiada apa-apa yang berlaku. Ramai yang hanya memandang sebelah mata tawaran tiket free oleh kerajaan ketika itu kerana masing-masing lebih mengutamakan imtihan dan pengajian.

Setelah beberapa perbincangan dibuat oleh pihak PPMS dan SAF (Security Action Force) bersama pihak kedutaan, Alhamdulillah.. pihak kerajaan bersetuju untuk menangguhkan penghantaran pulang bagi pelajar yang exam selepas segala urusan peperiksaan selesai.

Kini, tiada lagi alasan untuk diberikan kepada kerajaan Malaysia tentang penghantaran pulang ini. Tapi, hati amat berat untuk meninggalkan bumi barakah ini dan bumi yang penuh sejarah, tempat berlakunya peristiwa pembunuhan pertama manusia, Habil dan Qabil. Kami seakan-akan tidak hairan kepada tawaran tiket free itu. Masing-masing belum puas menuntut ilmu dengan para masyayeikh dan anisah di bumi bergelar Qiblatul Ilm. Keadaan kami tidak sama dengan keadaan pelajar di Negara-negara lain seperti Yaman, Mesir dan Jordan. Kebanyakan dari kami tidak mempunyai visa, dan urusan keluar masuk Negara ini amat strict. Bimbang kalau-kalau kami keluar pulang ke Malaysia, kami tidak berpeluang lagi untuk masuk ke Negara ini. Nauzubillah..

Namun, keputusan terakhir melihatkan hanya 11 orang pelajar akhawat azibah (belum berkahwin) yang membuat keputusan untuk tidak pulang ke Malaysia. Manakala jumlah keseluruhan warga Malaysia yang akan tetap berada di Syria seramai kira-kira 70 orang.

Peluang keemasan tiket free yang ditaja oleh pihak kerajaan ini mengigatkan kami kepada kesempatan untuk beramal dengan ayat quran di dalam surah at-Tahrim,ayat 6 yang berbunyi :

يأيها الذين ءامنوا قوا أنفسكم و أهليكم ناراً وقودها الناس والحجارة.

(Wahai orang-orang yang beriman, periharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu)

Mengigat kembali kepada ayat ini, terlintas di benak fikiran untuk membimbing keluarga dengan ilmu yang telah diperolehi walau tidak seluas ilmu imam syafi’e, tapi hati ini tetap ingin meng’islah keluarga walau hanya mampu mengubah kepada kebaikan yang nilainyanya hanya sebesar zarah.

Niat yang diiringi doa tatkala usai solat, moga niat baik kepulangan kami diredhai Allah dan di permudahkan segala urusan. Moga diri ini mampu menjalankan segala amanah dan tanggungjawab sebagai seorang anak yang sudah sekian lama tidak berbakti dan berjasa kepada kedua orang tua.

Apa yang membimbangkan, bila sudah menjejakkan kaki dirumah sendiri, berhadapan dengan mak dan ayah sendiri, hati mudah teralih termakan dek bisikan syaitan di hati. Bimbang kalau-kalau niat sebenar untuk berjasa kepada mak dan ayah bertukar kepada berpoya-poya dengan sahabat-sahabat lama. Bantuan dan pertolongan yang diminta oleh mak dan ayah seakan-akan satu paksaan kepada diri untuk melakukannya, dek kerana terlalu syok melayan internet, FB mahupun astro. Moga-moga Allah kuatkan hati-hati kami yang pulang agar mampu berbakti kepada ibu bapa, keluarga mahupun masyarakat.

و قضى ربّك ألا تعبدوا إلا إياه و بالوالدين إحساناً. إمّا يبلغنّ عندك الكبر أحدهما أو كلاهما فلا تقل لهما أفٍّ ولا تنهرهما وقل لهما قولاً كريماً

( Dan tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang diantara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membenak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia)

-Al-Israa’, ayat 23-

Mudah-mudahan permusafiran yang hampir memakan masa selama 20 jam tempoh hari dan tempoh masa bersama keluarga di tanah Malaysia ini menjadi satu ibadah yang diterima oleh Allah buat kami semua. Bukan saja-saja sekadar menghabiskan duit rakyat Malaysia untuk pulang ke mari menggunakan tiket free, malah mampu mewujudkan satu gelombang dakwah yang bakal dipersembahkan oleh pelajar dari bumi Syam, Insya-Allah…

Wallahua’lam…

 

%d bloggers like this: