Blog Archives

Ayat 18, Surah Luqman: Jangan Sombong!

Duhai para ayah dan ibu, didik dan pesanlah kepada anak-anak kita agar tidak hidup meninggi diri.

Kerana itu adalah salah satu nasihat Luqman Al-Hakim kepada anak-anaknya yang dirakamkan di dalam Al-Quran.

Nasihat Luqman itu tidak terhad kepada anaknya saja,
tapi juga valid kepada kita dan juga generasi anak-anak kita.

Dalam ayat ke-18 surah Luqman,

Allah memerintahkan kita melalui lisan Luqman supaya tak berlaku sombong.

Ada 2 point yang ditekankan tentang sombong dalam ayat itu.

Yang pertama,

Luqman berpesan kepada anaknya supaya jangan memalingkan muka atau memandang tempat lain ketika sedang bercakap dengan orang lain.

Perbuatan itu jelas merendahkan seseorang itu.
Sedangkan yang sepatutnya kita memandang wajah mereka dan bercakap mahupun mendengar percakapan mereka dengan baik.

Lebih-lebih lagi apabila bercakap dengan ibu bapa dan orang yang lebih tua.

Bak kata Hamka,
“Menghadapkan muka adalah alamat daripada menghadapkan hati.”

Firman Allah dalam ayat ke-18 surah Luqman,

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu memalingkan wajahmu (kerana memandang rendah) kepada manusia

Sa’ar, menurut at-Tabari adalah penyakit pada kepala unta yang menyebabkan unta itu perlu sentiasa berpaling dan tak dapat meluruskan kepadanya ke hadapan.
.
.
.
Yang kedua,

Luqman berpesan supaya jangan berjalan di atas muka bumi dengan penuh sombong dan angkuh.

وَلَا تَمْشِ فِى الْاَرْضِ مَرَحًاۗ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berjalan di atas muka bumi ini dengan berlagak sombong (angkuh).”

Berjalanlah dengan sederhana. Tidak terlalu menunduk dan tidak terlalu meninggi diri.

Kekayaan, kenikmatan dan segala kelebihan yang kita miliki adalah pemberian Allah. Malah ia hanya pinjaman sahaja. Kita tak punya apa kalau Allah tak berkehendak untuk meminjamkan kepada kita.

Tak perlu si ibu berlagak sombong kerana menggunakan beg tangan berjenama terkemuka.

Tak perlu juga si bapa memecut kereta dengan penuh lagak dan sombong di atas lebuh raya kerana menggunakan kereta mewah. Atau mungkin juga bunyi ekzos keretanya lebih kuat mengaum berbanding kereta lain.

Tak perlu juga si anak terasa hebat dan angkuh kerana menggalas beg sekolah dan menggunakan alat tulis berjenama terkenal dengan harga kayangan.

Jelas Allah menyatakan di dalam ayat yang sama,
Sesungguhnya Dia langsung tak menyukai orang yang sombong dan membangga diri.

اِنَّ اللّٰهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُوْرٍۚ

Jadi, kenapa kita manusia perlu berlagak sombong sehinggakan sesetengah orang mengajar anak didik ataupun pengikutnya untuk membangga diri?

Sikap sombong itu bukan datang dari kekayaan, jawatan mahupun populariti kita,
Tapi sebenarnya sombong itu datang dari hati kita yang kotor dan hitam.
Kerana yang miskin dan bodoh juga ramai yang angkuh, bongkak dan sombong.
.
.
Jom semak semula diri kita.
Pesan kepada anak-anak dan keluarga kita.
Bersihkan hati dan terus hormati insan-insan lain walau siapa pun mereka.

Berjalanlah di atas muka bumi ini dengan penuh rasa kehambaan diri kepada Tuhan.
Kerana sehebat mana pun status diri kita,
Kita tetap hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Jangan sampai sikap sombong membinasakan diri sekaligus menyebabkan kita tergelincir ke dalam neraka.

Nauzubillah!

Ini juga pesanan buat diri saya yang sering alpa.

Wallahua’lam.