Blog Archives

Ziarah Syria 2 : Rania Umm Taym

Rania, dahulunya merupakan seorang pendidik. Jiwanya sudah sebati dengan mendidik setelah mengajar selama 14 tahun di Raqqa, Syria. Sebuah bandar terletak kira-kira 6 jam dari bandar Dimasyq.

Pada tahun 2013, dia dan suami bertekad untuk meninggalkan Syria dek kerana pembantaian si zalim terhadap rakyatnya yang tidak bersalah.

Malaysia menjadi pilihan tempat untuk memulakan hidup baru. Bila ditanya kenapa, katanya kerana Malaysia adalah satu-satunya negara yang tidak memerlukan visa sebelum datang ke negara itu. Visa boleh didapati di Airport.

Mereka membina hidup baru dengan penuh semangat. Memulakan perniagaan dengan mengambil tempahan makanan masakan arab yang dimasak dirumah. Kebetulan suaminya Saad Zaza merupakan chef di Saudi sebelum mereka bernikah. Dengan kepakaran dan pengalaman yang ada, mereka memulakan perniagaan demi melangsungkan kehidupan di bumi tuhan.

Bermula dengan hanya masak menggunakan dua biji kuali kecil, Alhamdulillah lama kelamaan perniagaan yang diiklankan melalui online dan sahabat handai berkembang maju. Permintaan serta tempahan yang banyak mendesak mereka supaya memiliki peralatan serta kelengkapan masak yang lebih banyak. Alhamdulillah, dengan bantuan saudara Syed Ishak, mereka dapat memiliki barang2 kelengkapan memasak terpakai dengan harga yang jauh lebih murah berbanding yang baru.

Kehidupan mereka semakin selesa. Namun, baru sempat merasai nikmat keselesaan itu, ujian tuhan sekali lagi datang menyapa. Suami Rania meninggal dunia setelah dua bulan terlantar dan menderita akibat sakit jangkitan kuman di dalam darah.

Rania kini menjadi balu serta ibu tunggal. Gigih bersendirian membesarkan anak tunggalnya yang berusia 5 tahun, Taym (ุชูŠู…).

Rania masih meneruskan perniagaannya. Tapi kini berseorangan. Permintaan semakin merosot dan tidak semeriah dulu. Kerana hal2 iklan dan penghantaran makanan dulu dilakukan oleh arwah suaminya.

Rania mulanya tidak mahir memasak. Apa tah lagi menu yang pelbagai. Tapi, kerana kemahuan dan kesungguhan, dalam tempoh 2 tahun dia sudah mampu menguasai semua jenis masakan arab serta halawiyat(manisan) sekali.

Kami dihidangkan dengan halawiyat hasil tangannya. Katanya kebetulan pada hari yang sama ada individu cina mengambil tempahan halawiyat darinya.

Kami turut dijamu dengan teh arab. Ya, teh arab. Bezanya dengan teh melayu kita, mereka bancuh teh bersama dengan sekitar 7 biji buah pelaga. Yaa, buah pelaga. Tapi, tehnya tetap sedap, ditambah pula aromanya yang memikat ๐Ÿ™‚

Teh pelaga. Dihidang style arab, gula letak sendiri.. hehe

Sambil makan halawiyat hasil tangan Rania, mulut kami tidak berhenti memuji apa yang kami kunyah. Sedap, sungguh sedap. Bukan retorika, tapi kenyataan.

Rania kini menyara hidup bergantung kepada tempahan makanan dari orang. Tidaklah mewah, tetapi cukuplah untuk bayar sewa rumah dan makan mereka dua beranak.

Rania beruntung punya jiran tetangga yang baik. Dan kebanyakkan mereka adalah berbangsa Cina. Malah sewaktu suaminya meninggal tempoh hari, orang cina juga banyak menghulur bantuan. Bukan itu sahaja, orang cina juga antara yang kerap order masakan arab dari Rania.

Rania juga beruntung, memiliki rumah yang serba sempurna dengan pelbagai kelengkapan dengan bayaran sewa yang agak berpatutan. tuan rumahnya juga baik hati.

Walaupun sendirian membesarkan anaknya di negara orang yang entah bila penghujungnya, namun Rania gigih dan tidak mudah menyerah. Senyuman sentiasa terukir dibibirnya. Tidak terzahir dari raut wajahnya perasaan sedih atau kecewa. Malah, dia kelihatan tabah, bersemangat dan cergas. Nampak gembira.

Sampaikan sempat kami berbisik sesama kami dalam bahasa kita yang tidak difahami Rania, masing2 dari kami teruja dan suka melihat semangat dan kesungguhan Rania.

Meminta2 dan memohon simpati?

Sama sekali tidak, itu bukan Rania.

Apa yang dia mohon cuma, bantu dia supaya mengiklankan perkhidmatannya.

Ah, sudah tentu!

Kalau ada sesiapa yang teringin nak makan apa sahaja makanan arab atau halawiyat arab, boleh contact saya.

Tapi, penghantaran tidak disediakan. Anda terpaksa ambil sendiri di rumahnya di Seri Kembangan ๐Ÿ™‚

InsyaAllah, semoga rezeki Rania akan bertambah luas.

Sungguh, kami keluar dari rumah Rania dengan perasaan gembira dan semangat yang positif.

Benar kata orang,

Ciptalah kebahagiaan sendiri.

Ciptalah bahagia dimana2.

๐Ÿ™‚



Advertisements

Ziarah Syria 1: Hala’ Sankari

Alhamdulillah,

Semalam (19/7/2017), saya, Siddiqah (sahabat sama2 belajar di Syria) dan Kak Raja(doktor) berkesempatan untuk ziarah & memberi sumbangan kepada Hala’ sekeluarga, pelarian Syria yang menetap di Seri Kembangan.

Hala’ Sankari seorang ibu tunggal, datang ke Malaysia 4 tahun lalu bersama 3 lagi anaknya. Zubaidah, Muhammad & Solahuddin. Mereka berasal dari Halab@Aleppo.

Kerana tidak tahan melihat pembunuhan di depan mata, keluarga & tetangga disembelih seperti binatang korban pada pagi Aidiladha, bom serta letupan, mereka sekeluarga bertekad untuk meninggalkan bumi Halab dan berhijrah ke Malaysia.

Pada mulanya, semua berjalan lancar. Mereka memulakan hidup baru di Malaysia. Anak2 bersekolah. Hala’ pula mencari rezeki dengan memasak makanan arab.

Bagai jatuh ditimpa tangga, Hala’ sekali lagi diuji tuhan. Dia mengalami sakit jantung. Tiga saluran jantungnya tersumbat. Sudah 2 kali pembedahan dilakukan, sekali di Hospital Serdang, sekali lagi di IJN.

Rajah yang menunjukkan saluran jantung tersumbat. Yang hitam2 tu, darah mengalir baik. Yang tak hitam tu tersumbat

Saya bertanya tentang kos pembedahan & perubatan. Katanya, pembedahan tempoh hari menelan belanja sebanyak Rm33,000. Dengan nada terkejut saya bertanya lagi, dari mana dia dapat duit sebanyak itu?

Dengan tenang die menunjuk ke langit sambil menjawab,

‘minAllah..’ (dari Allah).

Katanya dia benar2 tiada duit. Sampaikan saat itu, ketika di wad emergency, dia rasakan seperti sudah mahu mati dek kerana jantungnya terlalu sakit. Pembedahan harus segera dijalankan, namun dia tidak punya wang. Rm14,000 perlu dibayar dahulu kepada pihak hospital sebelum pembedahan dilakukan.

Entah dari mana, entah siapa, tiba2 ada insan tolong menjelaskan bayaran sebanyak Rm14,000 itu. Alhamdulillah, pembedahan dapat dilakukan.

Bakinya pula bagaimana? Katanya saudara2nya tolong. Lalu disambung saudara SeIslam, yang entah siapa.

Bil Rm33,000

Rawatan susulan pula bagaimana?

Katanya, dia perlu ke hospital setiap bulan untuk rawatan. Kos rawatan bulanan adalah sebanyak Rm1000. Katanya, jika ada duit lebih, dia akan pergi, jika tiada, dia hanya duduk dirumah.

Hala’ lebih mementingkan pembelajaran anak-anaknya berbanding kesihatannya. Katanya,

‘kalau aku punya duit, lebih baik duit itu dibayar untuk kos pembelajaran anak-anakku, kesihatan aku, biarlah dahulu’.

Kami bertanya lagi, bagaimana dia menyara kehidupan mereka anak beranak setiap bulan? Dari mana datangnya wang?

Sekali lagi jari ditunjuk ke langit sambil kepala mendonggak,

‘wallahi, minAllah..’

Katanya lagi,

‘ini bukan zaman Saidina Abu Bakar as-Siddiq, bukan juga zaman Umar al-Khattab mahupun Umar Abdul Aziz, tidak juga zaman Harun ar-Rasyid, tetapi entah siapa, entah dari mana, akan ada sahaja sampul berisi wang yang diselit dari bawah pintu rumahku. Dari duit itu la aku bayar sewa rumah dan menyara keluargaku.’

‘Allah hadirkan juga insan2 seperti kamu semua datang memberi bantuan serta sumbangan seperti apa yang kamu bawa hari ini’.

Sungguh, kami melihat tingginya tawakal dalam dirinya.

Kami meminta izin untuk melihat dokumen2 perubatan serta ubat-ubatan yang diberikan pihak hospital. menimbun, sungguh sangat menimbun ubatnya. sudahlah menimbun,

Mahal-mahal pula tu.

Kak Raja belek2 semua ubat-ubatan Hala’ sambil menggeleng kepala. Kata kak Raja, ‘mahal semua ubat2 ni’.ย 

Ada ubat2 penting yang perlu diambil, tetapi sudah habis. Tidak mampu untuk terus membeli stok ubat, kata Hala’ ‘aku makan apa yang ada sahaja’.

Dia perlu menjalani sekali lagi pemeriksaan khas untuk menilai masalah jantungnya. Bila kami tanyakan bila akan pergi buat? Katanya, bila ada duit.

Ubat-ubatan

‘aku ini akan mati, kalau tidak mati di Syria kerana disembelih, aku akan mati di Malaysia kerana sakit’.

Matanya berkaca-kaca ketika ditanya tentang keluarganya di Halab. Katanya, semuanya sudah mati! Mati dibunuh syiah, disembelih bagaikan itulah Aidiladha mereka.

Dalam kesedihan, dia mencari hikmah tanpa menyalahkan tuhan. Katanya,

‘Allah sedang menguji kami. Dalam masa yang sama, Allah mahu kami keluar dari Syria untuk menyebarkan agama Allah. Lihatlah di eropah berapa ramai orang yang telah Islam dengan usaha dakwah rakyat Syria yang berpindah ke sana’.

Walaupun hidup di dalam kesempitan, dia tidak meminta2 kepada kami. Tidak seperti sesetengah arab yang tidak segan sila meminta malah mendesak.

Tapi tidak bagi Hala’. Kalau ada duit itulah rezekinya, kalau tiada hanya bertawakkal kepada Allah.

Katanya lagi,

‘kita manusia biasa, tidak mampu memilih & meminta taqdir, tetapi Allah telah menetapkan taqdir terbaik untuk kita.’

Sungguh,

Saya belajar erti kekuatan dan kesabaran dari wanita ini.

Semoga Hala’ akan pulih seperti biasa dan dapat menjalani kehidupan normal bersama keluarganya di Malaysia.

#kitaSaudara

#DakwahVersatile

%d bloggers like this: