Rahsia Ketenangan bersama Alam

Kita manusia biasanya kalau mahu mencari ketenangan akan pergi membawa diri sama ada ke hutan, puncak gunung, ataupun ke tepi pantai memerhari lautan.

Selain terasa tenang melihat pemandangan bumi ciptaan Tuhan,
Suara cicipan burung, sahutan cengkerik, desiran ombak mampu membuat hati duka menjadi gembira, melupakan seketika masalah yang ada.

Kita terasa lebih seronok melihat, memandang dan memerhati alam ciptaan Ilahi, walau hanya duduk termenung menghabiskan masa sehari.

Kadang-kadang kita tertanya, dari mana ketenangan itu datang.

Satu yang mungkin kita lupa,
Segala hidupan yang ada disekeliling kita,
setiap hari, setiap detik, malah setiap waktu sedang bertasbih memuji dan mengagungkan Allah yang menciptakan mereka.

Barangkali disitulah datangnya ketenangan yang kita rasakan.
Kita menumpang ketenangan makhluk yang mengagungkan Tuhan yang menciptakan.

Kalaulah zikir-zikir mereka kedengaran,
Barangkali sudah bergema setiap penjuru bumi ini dengan suara mereka membesarkan Allah.

Kalaulah zikir-zikir mereka kelihatan,
Barangkali penuh cakerawala ini dengan tulisan memuji Tuhan.

Kalaulah zikir-zikir mereka boleh dihidu,
Pasti bumi dan alam semesta ini harum mewangi mengalahkan wangian kasturi.
.
.
.
Tapi itulah,
Kita manusia sering alpa.
Merasakan diri seakan sudah hebat dan sempurna.
Kita sendiri lupa untuk bertasbih memuji dan membesarkan Tuhan yang Esa.

Entah kenapa kita sering memuji manusia berbanding Allah yang memberi segala kebaikan yang ada di langit mahupun bumi.

Hairan.

Hari ini,
Biarlah tumbuhan dan hidupan lain menjadi contoh dan tauladan buat kita.

Supaya kita bisa bertasbih memuji Allah sepertimana mereka.
Memuji dan mengagungkan Tuhan yang sama menciptakan kita dan mereka.

تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَٰوَٰتُ ٱلسَّبْعُ وَٱلْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِۦ وَلَٰكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ ۗ إِنَّهُۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا
Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun. (surah al-Isra, 44)

Wallahua’lam.
.
.
.
Nur Shazareen
Muhasabah pagi

Ayat 18, Surah Luqman: Jangan Sombong!

Duhai para ayah dan ibu, didik dan pesanlah kepada anak-anak kita agar tidak hidup meninggi diri.

Kerana itu adalah salah satu nasihat Luqman Al-Hakim kepada anak-anaknya yang dirakamkan di dalam Al-Quran.

Nasihat Luqman itu tidak terhad kepada anaknya saja,
tapi juga valid kepada kita dan juga generasi anak-anak kita.

Dalam ayat ke-18 surah Luqman,

Allah memerintahkan kita melalui lisan Luqman supaya tak berlaku sombong.

Ada 2 point yang ditekankan tentang sombong dalam ayat itu.

Yang pertama,

Luqman berpesan kepada anaknya supaya jangan memalingkan muka atau memandang tempat lain ketika sedang bercakap dengan orang lain.

Perbuatan itu jelas merendahkan seseorang itu.
Sedangkan yang sepatutnya kita memandang wajah mereka dan bercakap mahupun mendengar percakapan mereka dengan baik.

Lebih-lebih lagi apabila bercakap dengan ibu bapa dan orang yang lebih tua.

Bak kata Hamka,
“Menghadapkan muka adalah alamat daripada menghadapkan hati.”

Firman Allah dalam ayat ke-18 surah Luqman,

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu memalingkan wajahmu (kerana memandang rendah) kepada manusia

Sa’ar, menurut at-Tabari adalah penyakit pada kepala unta yang menyebabkan unta itu perlu sentiasa berpaling dan tak dapat meluruskan kepadanya ke hadapan.
.
.
.
Yang kedua,

Luqman berpesan supaya jangan berjalan di atas muka bumi dengan penuh sombong dan angkuh.

وَلَا تَمْشِ فِى الْاَرْضِ مَرَحًاۗ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berjalan di atas muka bumi ini dengan berlagak sombong (angkuh).”

Berjalanlah dengan sederhana. Tidak terlalu menunduk dan tidak terlalu meninggi diri.

Kekayaan, kenikmatan dan segala kelebihan yang kita miliki adalah pemberian Allah. Malah ia hanya pinjaman sahaja. Kita tak punya apa kalau Allah tak berkehendak untuk meminjamkan kepada kita.

Tak perlu si ibu berlagak sombong kerana menggunakan beg tangan berjenama terkemuka.

Tak perlu juga si bapa memecut kereta dengan penuh lagak dan sombong di atas lebuh raya kerana menggunakan kereta mewah. Atau mungkin juga bunyi ekzos keretanya lebih kuat mengaum berbanding kereta lain.

Tak perlu juga si anak terasa hebat dan angkuh kerana menggalas beg sekolah dan menggunakan alat tulis berjenama terkenal dengan harga kayangan.

Jelas Allah menyatakan di dalam ayat yang sama,
Sesungguhnya Dia langsung tak menyukai orang yang sombong dan membangga diri.

اِنَّ اللّٰهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُوْرٍۚ

Jadi, kenapa kita manusia perlu berlagak sombong sehinggakan sesetengah orang mengajar anak didik ataupun pengikutnya untuk membangga diri?

Sikap sombong itu bukan datang dari kekayaan, jawatan mahupun populariti kita,
Tapi sebenarnya sombong itu datang dari hati kita yang kotor dan hitam.
Kerana yang miskin dan bodoh juga ramai yang angkuh, bongkak dan sombong.
.
.
Jom semak semula diri kita.
Pesan kepada anak-anak dan keluarga kita.
Bersihkan hati dan terus hormati insan-insan lain walau siapa pun mereka.

Berjalanlah di atas muka bumi ini dengan penuh rasa kehambaan diri kepada Tuhan.
Kerana sehebat mana pun status diri kita,
Kita tetap hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Jangan sampai sikap sombong membinasakan diri sekaligus menyebabkan kita tergelincir ke dalam neraka.

Nauzubillah!

Ini juga pesanan buat diri saya yang sering alpa.

Wallahua’lam.

Travelog Turki: 14 kali cubaan membunuh Al-Fateh?

Saya segera mengangkat Syaheem dari terus leka bermain dengan kucing menuju ke makam Sultan Al-Fateh yang sudah kelihatan jelas dari situ.

Ah, kaki ini laju melangkah. Tidak sabar mahu menziarah makam pemimpin yang menjadi idola ramai anak muda di luar sana.

Mana tidaknya, ketika usia baru menginjak 19 tahun Sultan Muhammad Al-Fateh sudah pun menjadi Khalifah Empayar Uthmaniyah yang ke-7 menggantikan ayahnya yang wafat.

Pada umur 21 tahun pula, baginda telah berjaya membuka Kota Konstantinopel setelah lama dikuasai oleh Kerajaan Byzantine. Beberapa kali tentera Muslimin, bermula zaman Bani Umawiyah lagi cuba untuk menawan Konstantinopel namun tidak berjaya.

Bukan itu sahaja, semasa zaman pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh juga tanah jajahan Empayar Islam Uthmaniyah telah berkembang sebanyak tiga kali ganda!

Baginda Sultan bukan hanya bijak dalam peperangan, malah berakhlak mulia serta sangat alim dan mentaati perintah agama. Wajarlah Sultan Al-Fateh menjadi contoh, ikutan dan ikon buat anak-anak muda.

“Al-Fateh meninggal masa umur 51 tahun rupa-rupanya.” Saya bersuara saat membaca keterangan pada papan tanda yang tertulis dalam Bahasa Arab.

“Oh, kat sini ditulis 51 tahun. Sebenarnya ada khilaf, ada pendapat kata Al-Fateh meninggal sewaktu berumur 49 tahun. Dan itu yang biasa kita dengar. Tapi, Wallahua’lam,” jawab Abang Jimin.

“Sultan Al-Fateh meninggal di Hünkar Çayırı Gebze ketika dia dan tenteranya sedang dalam perjalanan untuk berperang.”

“Kenapa dia meninggal ya?” Jawapan yang sepatutnya saya sudah tahu, tapi seakan-akan saya tidak pernah tahu tentang ini.

“Al-Fateh meninggal sebab diracun. Tahu siapa yang racun dia?” Abang Jimin sekali lagi cuba bermain teka-teki dengan kami.

“Siapa?” Saya benar-benar panasaran ingin tahu jawapan.

“Doktor peribadi dia. Hmm, kadang-kadang macam itulah. Orang yang paling kita percayai yang akan khianati kita,” jawab Abang Jimin.

Sebenarnya, doktor peribadi Sultan Muhammad Al-Fateh ialah seorang Yahudi. Dia telah dihantar oleh Kerajaan Viena yang merupakan antara kerajaan Kristian terkuat kerana tidak berpuas hati dan dendam terhadap kehebatan serta kejayaan-kejayaan Sultan Al-Fateh. Mana tidaknya, sedikit demi sedikit Kerajaan Kristian terutamanya di Eropah tumpas di tangan sultan hebat ini.

Bayangkan, Raja Viena telah membuat 14 rancangan dan percubaan untuk membunuh Sultan Muhammad Al-Fateh, namun 13 percubaan sebelum itu gagal. Doktor Yahudi upahan Raja Veins merupakan percubaan jahat mereka yang ke-14 dan akhirnya misi durjana mereka berjaya.

Nama sebenarnya ialah Maesto Jakapo, seorang doktor berbangsa Yahudi. Dia telah menyamar dengan menggunakan nama Yaakub Pasha. Dengan kepakaran yang dimiliki, dia telah dilantik dan mendapat tempat di istana sebagai doktor istana.

Tiga hari selepas diracun, baginda sultan pembuka Konstantinopel pun mangkat. Tanggal 3 Mei 1481, dunia Islam kehilangan seorang pemimpin yang sangat hebat.

Sebaik mengetahui kewafatan Sultan Muhammad II yang sangat digeruni musuh, mereka menyambut gembira khabar yang sangat dinanti-nantikan. Seluruh gereja Roman Katolik diarahkan untuk membunyikan loceng selama tiga hari dan tiga malam berturut-turut bagi meraikan kewafatan Al-Fateh. Duka umat Islam menjadi kegembiraan musuh.

*petikan buku Günaydın! Selamat Pagi, Turki! (Ms 63-65)

Banyak lagi cerita dan sejarah-sejarah menarik tentang Turki yang perlu iita tahu. Jom dapatkan buku travelog Turki ini di sini.

Jenis-jenis Haiwan Korban

Haiwan yang dibenarkan Islam untuk disembelih bagi tujuan ibadah korban cuma 3 jenis:

  1. Unta
  2. Lembu/kerbau
  3. Kambing/biri-biri

Haiwan-haiwan lain seperti ayam, itik, rusa, kancil, tapir dan sebagainya tidak sah jika kita sembelih untuk lakukan ibadah korban.

Seekor unta, boleh dikongsikan kepada 7 bahagian ataupun 7 penama ibadah korban.
Begitu juga dengan lembu.

Tapi kalau seseorang individu nak ambil bahagian korban lebih dari sebahagian pun tak jadi masalah.

Ada pun kambing,
Seekor kambing hanya boleh dinamakan kepada seorang individu sahaja untuk ibadah korban.

Tak sedikit yang keliru tentang status kambing.
Ramai beraggapan kambing juga boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian bagi tujuan ibadah korban.

Tahun lepas, beberapa orang rakan saya yang terdiri dari beberapa buah NGO mengadu berhadapan dengan masalah ini.

Kata mereka ada peserta mahu lakukan ibadah korban dengan berkongsi nama pada seekor kambing.
Apabila diterangkan, ada yang faham dan akur. Tak kurang juga ada yang memaksa mahu kambing itu dikorbankan dengan beberapa nama yang mereka berikan.

Aduhai.
Kena faham. Ini ibadah korban, bukan sedekah atau sembelihan biasa.

Isu ini nampak simple. Ilmu ini nampak sangat basic dan ramai beranggapan rata-rata masyarakat pasti sudah tahu.
Sedangkan sebenarnya masih ramai yang tak tahu dan keliru.

Mungkin perlu lebih banyak perkongsian ilmu tentang ibadah korban perlu disajikan kepada masyarakat.

Semoga lebih ramai yang faham tentang anjuran ibadah korban dalam Islam. Insya-Allah.

Kenapa Ramadan Sinonim Al-Quran?

Satu lagi soalan yang ditanya kepada syeikh semasa sesi Muhadharah Ramadan di Syria dulu,

“Syeikh, kenapa bulan Ramadan kita perlu perbanyakkan baca al-Quran?”

Ringkas syeikh menjawab,

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ
(bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran)

Hanya ayat Quran itu yang syeikh baca sebagai jawapan kepada soalan syabab yang bertanya.

Ayat Quran itu bukan pertama kali didengari. Malah, rata-rata dari kami sudah hafal ayat dari surah al-Baqarah itu.

Tapi, jawapan syeikh itu sudah membuatkan saya faham dan mengerti.

Seolah-oleh syeikh mahu berkata, bulan ini adalah ‘ulangtahun’ al-Quran diturunkan.
Sebab itulah kita perlu banyak membaca dan beraktiviti bersama al-Quran. Sebagai tanda meraikan kegembiraan turunnya al-Quran buat kita.

Macam kitalah, kalau ulangtahun perkahwinan kita mesti sambut.

Ada yang pergi bercuti dengan pasangan.

Ada pasangan yang makan malam berdua, dating bercandle light dinner tanpa diganggu anak-anak.

Ada yang bertukar hadiah, menghargai kesetiaan dan penat lelah pasangan.

Paling koman pun, kita akan up gambar perkahwinan atau gambar berdua di FB.

Begitulah kita mengigat balik detik-detik manis semasa mula-mula bergelar suami isteri.

Sama juga dengan ulangtahun yang lain.
Contohnya ulangtahun syarikat, mungkin majikan akan belanja staff makan pada hari itu.

Kalau ulangtahun produk jualan dilancarkan, biasanya akan ada diskaun atau tawaran menarik buat pembeli.

Ulangtahun hari jadi pula, semua sedia maklumlah bagaimana.

Begitulah betapa kita menghargai detik-detik dan kenangan indah sesuatu tarikh itu.
.
.

Samalah juga dengan al-Quran.
Malah, al-Quran jauh lebih istimewa dan paling patut diraikan kegembiraannya.
Istimewanya al-Quran ia bukan sekadar disambut pada hari yang diturunkan sahaja. Malah pada satu bulan keseluruhannya.

Ramadan bulan turunnya al-Quran.
Bagaimana cara kita meraikannya?
Sudah tentu dengan memperbanyakkan membaca dan beraktiviti bersama al-Quran, lebih dari kebiasaan dan bulan-bulan yang lain.

Sebab itulah bulan Ramadan sinonim dengan al-Quran.
Pada bulan inilah masanya kita meraikan kegembiraan penurunan al-Quran kepada Rasulullah saw dan kita umatnya.

Jadi, jom kita raikan bulan turunnya al-Quran ini dengan perbanyakkan membaca, memahami serta beramal dengan al-Quran.

Moga-moga dengan usaha kita ini, kita bakal dipilih Allah untuk menerima syafaat dari Al-Quran di akhirat kelak. Amin…
.
.

Mulianya Ramadan kerana Al-Quran.
Mulianya lailatul Qadar kerana Al-Quran.
Mulianya umat Muhammad kerana Al-Quran.
Mulianya seseorang insan itu juga kerana Al-Quran.

Raikanlah Ramadan ini dengan Al-Quran sekiranya kita benar-benar menghargai turunnya kitab Al-Quran.

SIAPA QARIN KITA

Alhamdulillah, pagi tadi Allah rezekikan saya dan rakan-rakan untuk hadir bertalaqqi madah Aqidah dengan Anisah Hiyam, isteri al-marhum Syeikh Mustafa al-Khin.

Rindu suasana bertalaqqi di Syria dan menggarap ilmu dari para ulama’.
Itu yang buat kami kuat untuk terus hadir menuntut ilmu.

Kami sedang belajar bab syirik.
Kelas tadi Anisah terangkan panjang lebar tentang sihir yang merupakan salah satu daripada jenis-jenis syirik.

Antara ilmu baru yang saya dapat tadi adalah berkaitan dengan ‘Qarin’. Sebelum ni ada juga tahu serba sedikit tentang Qarin, tapi hari ini Alhamdulillah lebih lagi.

Qarin ni apa?

Qarin adalah makhluk Allah yang dicipta daripada api. Qarin termasuk dari kalangan jin.

Makhluk bernama Qarin ni sentiasa duduk rapat, ikut dan bersahabat dengan setiap diri yang bernama manusia. Sejak kita lahir, sehinggalah mati.

Ya, kita semua ada Qarin!
Termasuk insan terangung, Rasulullah SAW.

Qarin ni dia tahu semua benda yang diri kita tahu. Dia tak tahu apa yang kita tak tahu.

Qarin ni tugas dia untuk menyesatkan dan ajak kita buat kemungkaran serta maksiat. Dia akan kuasai diri kita sekiranya iman kita lemah.

Tapi kalau kita berpegang teguh dengan ajaran agama, Qarin tak akan dapat perdaya dan kuasai diri kita. Bahkan Qarin juga akan menjadi baik.

Berbalik kepada topik kami belajar tadi, iaitu sihir.

Tukang sihir atau bomoh dakwa kononnya depa ni tahu semua benda. Kalau tengok drama Melayu ke, movie orang puteh ke… Tak dan lagi orang tu cakap apa hajat dorang datang, bomoh tu dah tau sebab apa.

Dari mana Tok Bomoh tu tau?
Tok Bomoh tau benda ghaib ke?

Astaghfirullah.. jangan sesekali percaya!
Hanya Allah je yang tahu tentang segala perkara ghaib…

Bomoh atau dalam Bahasa Arab disebut Kaahin tahu semua-semua benda atas pertolongan Qarin mereka.

Qarin si bomoh yang bagitau sebab apa Si Fulan tu datang kepada Bomoh.

Dari mana pulak Qarin Tok Bomoh tu tau?
Sebenarnya Qarin Si Fulan tu yang khabarkan pada Qarin Tok Bomoh apa hajat dia datang.

Maksudnya Qarin dengan Qarin bertukar maklumat!

Hah?
Serius laa.. bila masa pulak Qarin dengan Qarin ni bersembang?

Perasan tak, kalau dalam drama ke movie ke..
Kalau ada orang datang jumpa Tok Bomoh, bomoh tu akan suruh tunggu sekejap sambil konon-konon tutup mata.
Ataupun Si Fulan disuruh tunggu sekejap sebelum jumpa dengan bomoh.
Ini dipanggil ‘fatrah intizhor’.

Haa.. time tulah Qarin sama Qarin bercakap bertukar khabar!
Time tu jugak Qarin bomoh tu bisik maklumat tu dekat Si Bomoh.

Yes, itulah sebenarnya rahsia para bomoh seantero dunia.

Mereka sebenarnya tak tahu langsung pun perkara ghaib, hatta Qarin tu pun tak tahu. Tapi mereka cuma bertukar khabar. Dan Si Bomoh berlagak kononnya tahu semua benda dan ambil kesempatan untuk menipu orang.

Perbuatan bomoh itu syrik,
Perbuatan orang yang meminta bantuan dari bomoh juga syirik!

Sungguh, hanya milih Allah segala ilmu-ilmu ghaib. Allah juga Maha Kuasa.

Maka, jangan tertipu dengan tipudaya syaitan.

Kita menentukan siapa Qarin kita!
Sama ada Qarin yang mendorong kepada kejahatan atau Qarin yang berubah menjadi baik.

Firman Allah SWT:

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَـٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

“Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (QS. Az-Zuhruf : 36)

Sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ، إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ قَالُوا: وَإِيَّاكَ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: وَإِيَّايَ، إِلَّا أَنَّ اللهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ، فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ

Maksudnya: “Tidaklah setiap orang daripada kamu itu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah diutuskan bersamanya qarinnya (teman) daripada kalangan jin. Mereka (Sahabat) bertanya: Adakah kamu juga wahai Rasulullah SAW? Baginda SAW menjawab: Dan aku juga melainkan Allah telah membantuku daripada gangguannya maka aku terselamat dan tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.” [Riwayat Muslim (2814)]

Wallahua’lam..

.
.
Nur Shazareen
Pun ada Qarin 😌

Kunci Syurga

‘Radhitu billahi rabba,
wa bil Islami diina,
wa bi Muhammadin Rasula.’
.
.

Zikir yang nampak mudah, tapi berat untuk kita amalkan.


Sedangkan ganjaran melafazkan zikir ini berupa kepastian syurga bagi si pelafaz.

Tetap juga terasa berat untuk mengamalkannya setiap hari pagi dan petang.

Bukan kerana tak tahu fadhilatnya, tetapi hakikat sukarnya untuk istiqamah melakukan kebaikan dan ketaatan kepada Tuhan.
.
.

Ayat zikir ini juga senang untuk dilafazkan, tapi sangat sukar untuk diterima ketika kita sedang benar-benar diuji Allah dengan ujian yang dahsyat.

Walau apa pun halangannya, jom kita sama-sama cuba untuk istiqamah mengamalkan zikir ‘mahal’ ini setiap hari.

Semoga dengan asbab zikir ini iman kita semakin meninggi, syurga juga bakal diganjari. Amin ya rab.
.
.

Rasulullah saw bersabda,

من قال رضيت بالله ربا وبالإسلام دينا وبمحمد صلى الله عليه وسلم رسولا وجبت له الجنة

Maksudnya: Barang siapa yang mengucapkan ‘Radhiitu billahi rabbaa, wa bil islaami diinaa, wa bi muhammadin shallaa allahu ‘alaihi sa sallama rasuulaa’ (Aku rela Allah Swt sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan Nabi Saw sebagai Rasul) maka syurga merupakan suatu kepastian baginya. (HR. Abu Dawud)
.
.

Teruskanlah melafazkan zikir ini, sehingga kita dapat merasa lazatnya kemanisan Iman.

Kesalahan Biasa ketika Membaca Quran

Perasan tak, antara kesilapan biasa bagi kita orang Melayu ketika membaca al-Quran adalah pada kalimah seperti

إليكم
عليكم
أنتم
كنتم

Kebiasaannya, ramai yang akan sebut perkataan tu mengikut ‘style Melayu’.

Macam mana sebutan style Melayu?
.
.

Perasan tak, macam mana orang Melayu bagi salam?

Hakikatnya, Kita tak bagi salam dengan bunyi

‘AssalamualaiKUUMM…’

tapii… salam orang Melayu bunyinya macam ni..

‘AssalamualaiKOOOMM…’

Suku kata hujungnya kita sebut KOM, sebagaimana yang disebut dalam perkataan ‘kompang’,

Yang sebetulnya adalah KUM,
Seperti pada perkataan ‘kumbang’.
.
.

Secara tak sedar dan tak langsung, sebutan seperti itu juga yang kita terbawa-bawa ketika membaca al-Quran.
.
.
Kaedahnya, apabila sesuatu huruf itu berbaris hadapan(dhommah), maka kita perlu muncungkan mulut kita ketika menyebutnya.
.
.

إليكم
Sepatutnya disebut ‘ilaikum’ bukan ‘ilaiKOM’.

عليكم
‘alaikum’ bukan ‘alaikom’

أنتم
‘antum’ bukan ‘antom’

كنتم
‘kuntum’ bukan ‘kuntom’

.
.
Ini adalah antara kesalahan terawal saya yang ditegur oleh guru Quran saya ketika di Syria dulu.

Waktu saya mengajar al-Quran, saya juga perasan hampir kesemua kakak-kakak atau makcik-makcik salah ketika menyebut perkataan-perkataan itu.

Sebab itu Anisah Haifa’, guru Quran saya di Syria dulu pernah sebut,

“Cara sebutan itu salah. Itu cara sebutan orang Malaysia. Hampir kesemua pelajar Malaysia yang baca dengan aku akan baca macam itu.”

Saya mengangguk setuju.

.
.
Nak mengubah semula sebutan kalimah-kalimah seperti itu kepada sebutan yang betul tidaklah susah mana, cuma perlukan fokus, perhatian dan latihan yang konsisten.

Dan yang paling penting, perlu berguru secara musyafahah(berdepan). Tidak cukup sekadar membelek buku tajwid atau menonton video mengaji di youtube. 😊

Allahummarhamna bil Quran💕

Istimewanya Hari Jumaat

JUMAAT

Satu-satunya hari yang dipilih untuk menjadi surah di dalam Al-Quran, iaitu Surah Al-Jumu’ah.

Jumaat juga adalah satu-satunya hari yang terkecuali namanya berdasarkan turutan hari di dalam Bahasa Arab.

Contoh :

Hari pertama: Ahad (أحد)
Hari kedua: isnin(اثنين)
Hari ketiga: selasa(ثلاثاء)
Hari keempat: rabu(أربعاء)
Hari kelima: khamis(خميس)
Hari keenam: JUMAAT(جمعة)
Hari ketujuh : sabtu(سبت)

Dalam Bahasa Arab, Jum’ah bermaksud Hari Berhimpun. Orang-orang Islam akan berhimpun pada hari jumaat untuk mengesakan Allah, sama seperti Hari Raya.

Jumaat adalah hari keenam.

Pada hari jumaat jugalah diciptakan langit dan bumi,
Diciptakan juga Adam a.s,
Dimasukkan Nabi Adam ke dalam Syurga,
Juga Adam dikeluarkan dari syurga pada hari Jumaat.

Pada hari Jumaat jugalah akan berlaku Hari Kiamat.

Disunatkan kita untuk membaca Al-Kahfi dan memperbanyakkan selawat pada penghulu segala hari ini.

اللهم صل على سيدنا محمد…

Wallahua’lam

Salam Jumaat! 🙂

Syaitan Takut Quran!

Sebelum azan maghrib tadi, mama tengah nak tidurkan baby, tiba-tiba Taqi masuk bilik

“Mama, tingkap dapur tak tutup lagi!” Taqi mengadu dengan muka cemas.

“Takpalah. Nanti mama tutup lepas adik tidur.”

“Tapi, nanti lambat-lambat syaitan masuk. Kan dah nak maghrib ni?”

“Takpalah, kejap lagi mama tutup. Taqi keluar dulu k. Adik nak tidur ni.”

Boleh pulak sebelum Taqi nak keluar bilik, dia capai speaker Quran yang mama pasang untuk baby.

“Ehh.. kenapa Taqi ambil tu? Letak balik!”

“Yelah, nak letak kat dapur. Tak nak bagi syaitan masuk. Kan syaitan takut Quran.”

Alahaii.. sampai camtu sekali 😅

“Tak payahlah.. sikit lagi mama tutup. Keluar dulu.”

Taqi pun tarik tangan Syaheem ajak keluar.

Saya asalnya memang nak tidurkan baby dulu, jadi kesian pulak dekat Taqi. Entah apa dibuatnya kat luar bilik. Kakak Tuqo tengah mandi, abahnya tak balik lagi.

Keluar je bilik, terkejut tengok Taqi & Syaheem dok berdiri bersandar kat dapur sambil ngadap tingkap yang tak bertutup lagi.

Boleh pulak dia baca Ayat Kursi & 3 Qul kuat-kuat sambil ngadap tingkap dapur yang tak bertutup tu dengan penuh khusyuk.

“Taqi buat apa ni?”

“Taqi baca Quran, tak nak bagi syaitan masuk rumah kita.”

Allahu.. gigihnya kamu nakk ..

Moga-moga syaitan tak berani-berani dah nak masuk rumah kita lepas ni 😅